Syarikat Dari Peru Hasilkan Buku Paling Kecil Di Dunia


SHARJAH,  UAE - Buku terkecil didunia yang diterbitkan sebuah syarikat penerbitan dari Peru berjaya menarik perhatian pengujung di Pesta Buku Antarabangsa Sharjah yang berlangsung hari ini sehingga 14 November ini.

Buku sebesar ibu jari itu diterbitkan dalam beberapa bahasa seperti Inggeris, Itali, Perancis dan Portugis itu turut disasarkan bukan sahaja kepada kanak-kanak tetapi juga kepada golongan dewasa.

Selain menerbitkan hampir 500 judul buku dengan rekaan berwarna-warni, syarikat itu juga menjual rak buku kayu kecil yang boleh memuatkan saiz buku terbabit.

"Kami mempunyai pelbagai jenis buku seperti buku sastera klasik, buku kanak-kanak dan buku-buku inspirasi," kata Luis Espinoza, pengurus jualan di syarikat itu.

Mengulas lanjut mengenai asal-usul syarikat itu, Luis berkata, idea untuk menghasilkan buku ini secara komersial tercetus selepas buku yang dibuat oleh pemilik syarikat untuk diberikan kepada rakannya sebagai hadiah pada mulanya mendapat perhatian ramai.

Sumber: Sinar Harian