Syarikat Di Sg Petani "Kantoi" Guna Logo Halal Tanpa Perakuan Sah

Anggota penguatkuasa menjalankan siasatan di premis berkenaan.
SUNGAI PETANI - Sebuah syarikat sanggup menggunakan logo halal pada produk makanan dan minuman tanpa ada sijil kebenaran yang sah serta diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Namun tindakan syarikat terbabit dihidu pihak berkuasa yang merampas kira-kira RM3,500 produk makanan dan minuman dalam botol yang dikeluarkan syarikat terbabit dekat Kawasan Perindustrian Taman Ria Jaya, di sini.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sungai Petani, Sha’arani Miskat berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, syarikat terbabit gagal mempamerkan sijil kebenaran yang sah yang diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Hasil serbuan dan pemeriksaan yang dilakukan ke sebuah kilang pengeluar produk makanan dan minuman itu mendapati, syarikat terbabit meletakkan logo halal tanpa sijil kebenaran sah oleh Jakim.

“Susulan itu, satu kertas siasatan dibuka bawah Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu meletakkan logo halal pada barangan untuk jualan tanpa kelulusan Jakim,” katanya.

Sekiranya disabitkan kesalahan, denda maksimum RM250,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan bagi kesalahan orang-perseorangan.

Manakala, bagi kesalahan syarikat, denda tidak melebihi RM500,000 bagi kesalahan pertama dan RM1,000,000 bagi kesalahan kedua boleh dikenakan jika sabit kesalahan.

Serbuan dilakukan bersama empat anggota penguatkuasa Jakim dan tiga penguatkuasa KPDNKK di kawasan terbabit bermula jam 10.30 pagi.

Beliau bagaimanapun memberi amaran keras terhadap mana-mana individu atau syarikat yang menggunakan sijil halal tanpa kebenaran.

Pemantauan akan sentiasa dijalankan dan jika masih ada yang ingkar, tindakan tegas akan diambil.

Sumber: Sinar Harian