Karupaiya meninjau keadaan longkang yang kotor dan tidak dibersihkan dipercayai punca banjir kilat kerap berlaku. |
BANDAR BAHARU - Hujan lebat tidak sampai satu jam menyebabkan deretan kedai di kawasan tapak pasar, dekat sini, dinaiki air sehingga merugikan peniaga.
Seorang pemilik kedai makanan, Jin Bee Kean, 35, berkata, setiap tahun terutama ketika musim hujan mereka terpaksa menanggung kerugian apabila tidak dapat menjalankan operasi perniagaan.
Menurutnya, air daripada jalan dan longkang akan melimpah ke kawasan kedai mereka yang lebih rendah menyebabkan berlakunya banjir kilat sehingga merosakkan harta benda.
“Kalau hujan lebat tak sampai satu jam, air dari longkang akan melimpah keluar masuk dalam kedai. Beberapa hari lepas paling buruk apabila air mencecah paras lutut.
“Kami terpaksa berjaga di waktu malam untuk mencuci kedai supaya dapat beroperasi pada keesokan hari, kalau hujan siang pula memang tak boleh berniaga,” katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, pelbagai aduan sudah dibuat termasuk kepada pemimpin setempat namun masalah banjir kilat ini tidak juga diselesaikan.
“Puas kami buat aduan, mereka datang tengok sahaja tapi tindakan tidak diambil. Ada lah sekali atau dua kali saja pihak terbabit datang cuci longkang tapi tak selesai juga masalah,” katanya.
Manakala pemilik kedai runcit, Mg Meow Heng, 59, berkata, dia terpaksa meletakkan barangannya di tempat tinggi namun masih juga rosak akibat banjir kilat.
“Habis rosak barang jualan. Memang tak boleh guna, terpaksa buang dan kami tanggung rugi.
“Kami sudah letih, tolonglah kami. Tengok dalam longkang separuh adalah pasir. Air nak lalu susah. Tolonglah bersihkan longkang ini atau besarkan longkang,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua PKR Cabang Padang Serai, M Karupaiya berkata, pihak terlibat perlu segera mengambil tindakan membersihkan longkang di kawasan berkenaan yang penuh dengan sampah sarap.
“Memang kita tengok longkang langsung tak dibersihkan, air tersekat dan bertakung sehingga menyebabkan bau busuk.
“Kita mohon pihak terlibat segera ambil tindakan, jika dibiarkan ia akan bertambah teruk dan membebankan peniaga di sini yang perlu tanggung kerugian,” katanya.
Sumber: Sinar Harian