Taman Anggur Perlis Ditutup, Syarikat Tidak Mampu Urus Lagi

Beberapa pekerja sedang menyelenggarakan pokok anggur di bahagian pintu utama.
KANGAR - Taman Anggur Perlis yang menjadi tarikan pengunjung sejak empat tahun lalu kini kelihatan seperti tidak lagi berfungsi apabila ia tidak beroperasi kira-kira setahun lalu.

Pengunjung, Suhana Mohd Lazim, 27, berkata, dia berhasrat membawa saudara-maranya yang datang bercuti ke taman tersebut, namun hampa apabila ia ditutup.

"Walaupun saya penduduk tempatan, tapi saya memang tak tahu taman ini dah ditutup kepada orang ramai.

"Dulu taman anggur ini jadi kebanggaan orang Perlis sebab selalu jadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri. Tapi kini ia kelihatan sangat usang macam tak diselenggarakan," katanya.

Penduduk di Sungai Batu Pahat, Khairul Anuar Razak, 37, berkata, taman anggur itu sudah lama tidak beroperasi setelah difahamkan syarikat swasta yang dilantik kerajaan tidak lagi mampu menguruskan taman anggur tersebut.

Menurutnya, taman itu berjaya menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan kerana ia juga berdekatan dengan Taman Ular dan Taman Herba yang sering menjadi tumpuan pelancong.

"Bila saya lalu ladang ini, memang nampak tak dijaga dengan baik. Cuma ada beberapa kakitangan menyelenggarakan bahagian depan taman ini.

"Saya harap kerajaan dapat ambil tindakan mengembalikan keadaan Taman Anggur Perlis ini seperti sedia kala sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong dan meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk setempat dengan kehadiran pengunjung yang ramai," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh berkata, pengurusan Taman Anggur Perlis itu kini diserahkan kembali kepada pihaknya setelah syarikat swasta terbabit tidak lagi mampu menguruskan taman itu.

“Tahun ini pihak jabatan mengambil alih pengurusan taman, namun belum mempunyai peruntukkan untuk menyelenggarakan dan menaik taraf taman itu, jadi kami hanya uruskan pokok-pokok yang sedia ada.

“Jika peruntukkan sudah ada, dijangka tahun depan taman ini akan beroperasi semula dengan wajah baharu dan berbagai aktiviti,” katanya.

Taman Anggur Perlis mencatatkan jumlah puluhan ribu pengunjung setiap tahun sejak mula dibuka kepada orang ramai pada Julai 2011.

Ia mula dibangunkan pada 2005 secara perladangan berskala besar dengan keluasan 0.4 hektar.

Sehingga kini, Taman Anggur Perlis sudah mencapai keluasan kira-kira 10 hektar.

Sumber: Sinar Harian