Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengingatkan mana-mana pemilik stesen minyak mahupun pemilik kedai makanan supaya memastikan bilik air dan tandas di premis mereka berada dalam keadaan bersih.
Pengarahnya Dr Hayati Abdullah berkata ini kerana bakteria Salmonella thypi (S. thypi) yang merupakan penyebab utama demam kepialu atau tifoid boleh merebak melalui najis dan air kencing orang yang dijangkiti.
Dr Hayati menjelaskan kebersihan tandas awam juga memainkan peranan penting dalam membendung penyakit itu daripada merebak di samping suntikan vaksin dan pengendalian makanan.
Katanya, dalam keadaan tandas yang kotor, sekiranya individu yang dijangkiti penyakit itu menggunakan tandas tersebut dan tidak dibersihkan, bakteria wabak itu boleh hidup di kawasan tandas terbabit dan menjangkiti individu lain yang menggunakannya.
Bakteria itu tersebar melalui sentuhan terus dengan najis dan air kencing orang yang dijangkiti dan ia akan mencemari makanan dan minuman individu terbabit, jelas beliau.
“Malah, jika tandas tersebut berada dalam keadaan kotor sudah pasti akan menarik perhatian lalat, dan lalat ini akan dijangkiti oleh wabak tersebut dan akhirnya merebak ke gerai makan berdekatan,” katanya kepada Bernama.
Oleh yang demikian, pihak DBKL kini meningkatkan operasi pemeriksaan kebersihan di premis makanan dan tandas di stesen-stesen minyak di ibu kota.
Operasi tersebut diketuai Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur Datuk P.Gunaseelan.
Menurut Gunaseelan sejak 21 Okt sehingga hari ini, 175 premis makanan ditutup sementara kerana didapati tidak mematuhi peraturan kebersihan yang ditetapkan manakala 353 pekerjanya tidak mengambil suntikan vaksin.
Katanya dalam tempoh itu, pihaknya memeriksa lebih 500 premis dan 1,506 pengendali makanan.
Gunaseelan berkata pihaknya mengambil tindakan tegas tehadap semua pengusaha premis makanan bagi memastikan penyakit itu dapat disekat sebelum merebak.
Beliau juga menasihati para peniaga agar meningkatkan tahap kebersihan premis makanan selain memastikan semua pengendali makanan mempunyai sijil pengendali makanan dan mendapat suntikan antitifoid.
Setakat semalam, 38 kes demam kepialu dicatatkan di ibu negara.
Menurut laman sesawang Kementerian Kesihatan, seseorang pesakit yang dijangkiti demam kepialu boleh mengalami pendarahan dalaman dan masalah usus yang boleh membawa maut. – BERNAMA