Teknologi Kenderaan Pandu Sendiri Diperkenal 10 Tahun Lagi


Tokyo - Industri automotif Malaysia bakal menyaksikan satu lagi transformasi apabila teknologi kenderaan pandu sendiri akan diperkenalkan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Pengenalan teknologi itu akan dilaksanakan menerusi Pelan Arah Tuju Megascience 3.0 bagi tempoh 2020-2050 yang akan dilancarkan pada pertengahan Jun tahun depan.

Ia bakal menyaksikan perubahan baru dalam industri berkenaan khususnya menyediakan persekitaran yang selamat dan pilihan kepada kenderaan pandu sendiri.

Bagaimanapun, untuk melengkapkan pelan arah tuju itu, beberapa faktor perlu diambil kira.

Presiden Institut Automotif Malaysia (MAI) Madani Sahari berkata, pengenalan teknologi kenderaan pandu sendiri adalah sebahagian daripada komponen yang akan dirangka dalam pelan arah tuju itu.

Beliau berkata, pengenalan teknologi itu membolehkan seseorang penumpang itu dibawa dengan kenderaan dari satu tempat ke tempat lain tanpa perlu dipandu.

“Ini akan membabitkan penggubalan polisi dan undang-undang baru, infrastruktur serta perubahan minda pemandu jalan raya yang perlu dilihat menerusi teknologi baru ini.

“Saya melihat perkara ini akan menjadi kenyataan dalam tempoh 10 tahun akan datang sebagaimana pengenalan kenderaan elektrik yang pertama kali diperkenalkan di negara ini lima tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Pameran Motor Tokyo 2015 di Jepun, baru-baru ini.

Katanya, selain menyesuaikan industri automotif dengan teknologi baru ini, sektor berkaitan atau rantaian bekalan oleh syarikat automotif terbabit juga perlu dirangka untuk menyokong teknologi ini.

Masa depan kenderaan pandu sendiri akan membolehkan orang ramai bergerak tanpa perlu memandu dan pada masa sama mempunyai masa berkualiti ketika berada di jalan raya.

Mengenai aspek teknologi pula, Madani berkata, rangka kerja infrastruktur itu dijangka dapat dilaksanakan dengan kukuh dalam tempoh 10 tahun, sekali gus menggalakkan pemanduan selamat.

Pelan Arah Tuju Megascience 3.0 untuk industri automotif dirangka sebagai lanjutan kepada Dasar Automotif Negara yang akan berakhir pada pertengahan 2020 selepas mendapat kelulusan dari kerajaan.

Industri automotif global kini menyaksikan perkembangan pesat daripada pengenalan kereta elektrik kepada kereta pandu sendiri. Ini dapat dilihat menerusi Pameran Motor Tokyo 2015 yang sedang berlangsung sehingga 8 November ini di Jepun. 

Sumber: myMetro