Teksi Ojek: Pemandu Ketiak, Bau Badan Busuk Tidak Layak


JAKARTA – Satu aplikasi tempahan teksi motosikal yang baharu di ibu kota Indonesia cetus sensasi apabila ia berjanji untuk mengharamkan pemandu yang mempunyai masalah bau badan atau lebih tepat – ketiak busuk.

Perkhidmatan teksi motosikal yang dikenali sebagai ojek sudah bertahun-tahun lamanya digunakan oleh lebih 10 juta penduduk miskin di bandar raya penuh sesak dan terkenal dengan kesesakan lalu lintas cukup teruk itu.

Memang tidak dapat dinafikan ribuan penunggang ojek mudah sahaja berpeluh dan berbau ketiak setelah mereka bekerja teruk berjam-jam selain senang terdedah dalam keadaan cuaca panas terik atau hujan di kota Jakarta.

Justeru, PT UberJEK Trans Indonesia melancarkan inisiatif menawarkan perkhidmatan tempahan ojek secara talian dan berjanji untuk hanya mengupah penunggang teksi motosikal yang disahkan lulus ujian bau badan.

Syarikat itu berkata, ia menyertakan syarat agak luar biasa ini setelah menerima banyak aduan daripada pelanggan selain penunggang wajib lulus kemahiran pengendalian motosikal dan juga pengetahuan undang-undang trafik.

UberJEK yang diusahakan Aris Wahyudi bakal menawarkan perkhidmatan U-Transport (membawa penumpang), U-Courier (membawa barangan) dan U-Lady (penunggang wanita khusus untuk penumpang wanita sahaja).


Buat permulaan, syarikat pengangkutan awam darat tempatan itu merancang untuk memiliki 8,000 penunggang bermula tahun depan dengan pendapatan bulanan 8 juta rupiah (kira-kira RM2,600) bagi setiap penunggang.

Beliau yang juga ketua pegawai eksekutifnya dan graduan Universiti Essex di Britain mendapat idea menubuhkan syarikat itu berdasarkan kejayaan operasi perkhidmatan teksi Uber lebih 300 bandar raya di 58 buah negara.

Uber diasaskan di San Francisco, California, Amerika Syarikat pada 2009 ialah khidmat tempahan teksi kereta secara aplikasi atas talian dengan tambang berpatutan dibandingkan operasi teksi biasa. – Agensi