LONDON – Tempahan tiket penerbangan ke Paris, salah satu bandar raya paling dilawati di dunia menjunam dalam tempoh seminggu lalu susulan serangan yang mengorbankan 130 nyawa di ibu kota Perancis itu.
Tempahan dari pelanggan di seluruh dunia ke kota romantis terkenal itu didapati menurun kepada 27 peratus bagi tempoh 14 hingga 21 November, berbanding rekod untuk minggu yang sama pada tahun 2014 lalu.
Demikian menurut hasil data terbaharu yang dikeluarkan oleh firma maklumat penerbangan antarabangsa, ForwardKeys.
Ketua Eksekutifnya, Olivier Jager berkata, kemerosotan tempahan itu berlaku kepada sektor pelancong atau pengembara berbanding pelawat perniagaan atau mereka yang datang untuk melawat keluarga atau rakan.
“Tempoh pembatalan telah berakhir namun arah aliran tempatan masih tidak menunjukkan sebarang pergerakan tanpa pemulihan,” katanya dalam satu temu bual sebelum data dikeluarkan hari ini.
“Ia akan mengambil masa berbulan-bulan,” kata Jager lagi.
Seminggu selepas serangan di Paris pada 13 November, pembatalan tempahan meningkat kepada 21 peratus lebih tinggi berbanding tahun lalu, namun beberapa hari lalu ia agak stabil berbanding tempoh sama tahun lalu.
Perancis adalah negara paling ramai dikunjungi pelancong di dunia dengan Paris sahaja menerima kehadiran 32.2 juta pelawat sepanjang tahun lalu.
Syarikat penerbangan utama Air France dilaporkan mengalami penyusutan dalam trafik selepas kejadian serangan di Paris, namun menurut sumber syarikat itu ia masih terlalu awal untuk dibuat pengiraan. – AFP