Terkilan Isu Beli Alat Uji Kehamilan, Emma Mahu Saman Penulis


Rasa sangat terkilan dengan artikel menyatakan dirinya membeli alat ujian kehamilan, pelakon jelita Emma Maembong dilaporkan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis yang membuat laporan tersebut.

Menurut Emma, keputusan ini dibuat atas nasihat keluarganya yang berpendapat artikel itu telah menjatuhkan maruahnya.

Jelas Emma, dia berasa kesal kerana apa yang dikongsi itu atas dasar kawan lima bulan lalu namun telah disensasikan sebuah portal hiburan.

“Disebabkan perkara ini, banyak persepsi negatif timbul sehingga mengaibkan saya malah keluarga menggesa supaya ambil tindakan undang-undang

“Memang kecoh di aplikasi WhatsApp keluarga saya selepas artikel ini disiarkan. Saya kecewa kerana hal ini dikongsi atas dasar kawan dan tidak sangka pula keluar artikel dengan tajuk begitu,” ujarnya kepada Harian Metro.


Sementara itu, Emma menyatakan perasaan sangsi dan tidak fahamnya mengapa artikel tersebut baru disiarkan sedangkan perbualan itu sudah lama berlangsung.

“Ketika itu, saya beritahu saya yang beli alat ujian kehamilan untuk kakak saya, Yaya yang kini sudah lima bulan hamil.

“Kalau cerita ini keluar pada waktu itu, Yaya baru mengandung tetapi kenapa sekarang baru nak disiarkan? Tidakkah ia mengundang pelbagai tanggapan negatif terhadap saya?” katanya lagi.

kakak Emma, Yaya dan suami.
Artikel bertajuk ‘Kecoh Emma Maembong Beli Alat Uji Hamil‘ yang disiarkan sebuah portal hiburan itu menjadi viral hingga ada ada sesetengah pihak memanipulasikan isu tersebut hingga timbul dakwaan pelakon berusia 23 tahun itu sedang mengandung anak luar nikah. -Kedahnews.com