"Terlalu Awal Untuk Sahkan Itu Rangka Milik Zazila" - Kakak

Rokiah menunjukkan gambar Nur Zalila yang hilang dua tahun lalu dan penemuan rangka di kampung Pak Keral dikaitkan dengan anaknya itu. - Foto Sinar Harian
TUMPAT - “Kami tunggu  keputusan ujian DNA dulu, masih terlalu awal kaitkan rangka yang ditemui di Pak Keral itu adalah adik saya,” kata Nurul Huda Ibrahim, 20, kakak kepada seorang remaja yang dilaporkan hilang.

Adik Nurul Huda yang dilaporkan hilang sejak Jun 2013 lalu, Nur Zazila Ibrahim, 12, dikatakan telah dilarikan oleh seorang wanita berperwatakan lelaki (tomboy) yang dikenali dengan nama "Along".

Mangsa didakwa telah dilarikan Along selepas menumpang tinggal  beberapa hari di rumahnya di Kampung Jejulok, Pengkalan Kubor.

Turut lesap motosikal jenis EX5 berwarna merah bernombor pendaftaran DBV5347 dinaiki individu  itu pada malam kehilangan mereka berdua.

Kelmarin media tempatan melaporkan para penduduk Kampung Pak Keral di sini gempar apabila menemui serpihan tulang dipercayai rangka manusia berhampiran dengan tali air di kampung tersebut.

Menurut Nurul Huda, orang ramai mengaitkan penemuan rangka itu adalah adiknya kerana motosikal  yang dilarikan ditemui di dasar tali air selepas tersangkut pada jala ketika penduduk kampung menjala di situ.

“Polis ada panggil saya untuk membuat pengecaman  pada Ogos lalu di Balai Polis Pengkalan Kubor berhubung penemuan motosikal itu.

“Memang benar itu  motosikal keluarga saya yang dilarikan,” katanya.

Jelasnya lagi, terlalu bermacam-macam versi cerita yang tersebar mengenai penemuan rangka itu apabila ada yang mengatakan itu rangka tomboy dan ada juga yang kaitkan itu adalah rangka adiknya.

“Mungkin  lokasi rangka dan motosikal ditemui  berdekatan, hanya dipisahkan dengan pintu air sahaja, sebab tu tersebar berita macam itu,” katanya lagi.

Bagi mengesahkan identiti rangka itu, Nurul memberitahu, darah ibunya, Rokiah Awang, 46 telah diambil untuk dilakukan ujian DNA di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Kami  berdebar menunggu keputusan ujian DNA itu, bertahun kami tunggu kepulangan Nur Zalila, jika benar itu rangka adik saya, kami sekeluarga reda,” katanya. -Kedahnews.com