Terlalu Kejam, Warga Sabah Kutuk, Tak Dapat Terima Langsung


SANDAKAN - Masyarakat tempatan mengutuk dan sedih dengan kejadian pembunuhan Bernard Then Ted Fen, 39, seorang daripada mangsa yang diculik di Restoran Makanan Laut Ocean King, di sini.

Pada masa sama, mereka mahu pasukan keselamatan meningkatkan kawalan di perairan di timur negeri ini agar insiden penculikan tidak berulang.

Kapitan Kawasan Elopura, Leong Tshun Kian, berkata pembunuhan Then menunjukkan kumpulan militan dari selatan Filipina yang melakukan penculikan itu kumpulan yang tidak berperikemanusiaan.

Katanya, tindakan kumpulan penculik membunuh mangsa culik tidak boleh diterima dan harus dipandang serius oleh kerajaan dan pasukan keselamatan.

“Sebagai penduduk di daerah ini, kami sedih dengan kejadian menimpa Then dan bersimpati dengan anggota keluarganya,” katanya.

Menurut laporan media antarabangsa, kumpulan penculik Abu Sayyaf memenggal kepala jurutera elektrik itu (Then) semalam.

Dua orang diculik dalam kejadian, 14 Mei lalu, dan seorang lagi pengurus restoran makanan laut itu, Thien Nyuk Fun, 50, yang dibebaskan pada 8 Nov lalu.

Bernard dilaporkan dibunuh di satu lokasi terpencil, dipercayai menjadi kubu kumpulan militan Abu Sayyaf di selatan Filipina.

Dalam pada itu, Ketua Zon Sandakan Persatuan Nelayan Sabah, Shaiful Bahari Muin mahu pasukan keselamatan khususnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengambil perhatian serius kejadian menimpa Then.

Katanya, mereka perlu meningkatkan lagi kawalan keselamatan di perairan timur negeri ini dan memastikan tidak dibolosi oleh anggota kumpulan militan dari selatan Filpina.

“Kejadian rakyat Malaysia dibunuh untuk mendapatkan wang tebusan oleh kumpulan militan di selatan Filipina sukar diterima.

“Kami hidup aman di negara ini tetapi kumpulan militan dari negara jiran mengambil kesempatan daripada keamanan yang dikecapi,” kata Shaiful Bahari. - Bernama