Tetap Ahli PAS, Adun Permatang Pasir Walau Sokong Pakatan Harapan - Salleh Man

Adun (PAS) Permatang Pasir, Datuk Salleh Man Mat Aji
GEORGETOWN - Adun (PAS) Permatang Pasir, Datuk Salleh Man Mat Aji menegaskan bahawa beliau akan tetap sebagai ahli parti itu dan tidak akan berhijrah menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) sebagaimana yang digembar-gemburkan pihak tertentu.

Namun kata Salleh Man, walaupun merupakan ahli PAS seumur hidup namun beliau juga menyokong Pakatan Harapan dan enggan campur tangan dengan pendirian partinya yang enggan bekerjasama dengan gabungan baru parti pembangkang itu.

"Saya menafikan akan meninggalkan PAS dan akan sertai Amanah. Saya adalah Adun PAS dan ahli kerajaan. Saya akan bersama dengan Kerajaan Pulau Pinang,”

"Itu pendirian mereka, saya tidak boleh komen. Saya tetap Adun Permatang Pasir. Saya akan terus berkhidmat dengan rakyat sebagai Adun dan juga ahli PAS," katanya dalam satu kenyataan luar dewan di Sidang DUN Pulau Pinang, hari ini.

Mengulas mengenai pendirian PAS Permatang Pauh yang membuat keputusan memutuskan hubungan dengan beliau, Salleh Man memberitahu pihaknya menerima keputusan itu namun akan tetap meneruskan khidmat sebagai Adun Permatang Pasir.

"Berhubung kenyataan PAS Permatang Pauh, saya terima seadanya keputusan itu. Seperti yang saya katakan, saya akan terus berkhidmat di Permatang Pasir dan seluruh masyarakat dengan semangat serta komitmen yang terbaik, Insya Allah,” katanya.

Salleh Man turut mendakwa bahawa hubungannya dengan PAS Negeri Pulau Pinang tidak bermasalah dan masih baik sehingga kini.

"Hubungan saya dengan PAS negeri, Alhamdulillah, baik, tiada masalah. Saya masih ahli PAS, itu pasti.

"Berhubung sokongan saya terhadap Kerajaan Pakatan Harapan, itu biasa lah. Dahulu Pakatan Rakyat Pulau Pinang, sekarang Kerajaan Pakatan Harapan.

"Macam kerajaan Malaysia, guna pelbagai slogan seperti Rakyat Didahulukan dan sekarang Sehati Sejiwa. Slogan saja lain, pentadbiran kerajaan tetap yang sama. Apa juga nama yang dinamakan, saya tetap di bawah kerajaan negeri yang sama,” katanya lagi.

Menurutnya, beliau tidak pernah berniat untuk meletak jawatan sebagai ahli PAS dalam Kerajaan Pulau Pinang.

“Isu itu tidak pernah timbul, saya tegaskan sekali lagi, saya akan tetap dengan PAS untuk selama-lamanya,” katanya.

Sebelum ini, PAS Kawasan Permatang Pauh mengumumkan keputusan memutuskan hubungan dengan Mohd Salleh Man apabila diputuskan dalam mesyuarat Pas kawasan berkenaan yang dibuat Isnin lalu.

Yang Dipertuanya, Omar Hassan berkata, keputusan itu dibuat berikutan kenyataan Salleh Man dengan jelas menyatakan sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang diterajui oleh DAP dan bertentangan dengan pendirian PAS pusat. -Kedahnews.com