Tiada DNA Babi Dalam Vaksin Diberi Kementerian Kesihatan - Dr. Hilmi


SESETENGAH golongan ibu bapa khususnya yang beragama Islam di Malaysia, memilih untuk menolak vaksin untuk anak mereka berdasarkan dakwaan suntikan yang diberikan itu haram kerana mengandungi DNA babi.

Kebimbangan mengenai dakwaan ini tercetus apabila tersebar di Internet kononnya terdapat kandungan Depxyribonucleic Acid yang mempunyai unsur DNA haiwan bernajis ‘mughallazah’ terbabit.

Perkara ini bagaimanapun disangkal oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya yang memberi jaminan, kesemua ubat-ubatan dan vaksin yang diberikan kepada pesakit di negara ini adalah halal serta selamat digunakan.

“Kita periksa semua sekali vaksin yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan memang tak ada langsung DNA babi.

“Kita pun faham dan saya tahu tidak boleh bagi, mungkin timbul masalah apabila masyarakat terbaca buku oleh Jerry D Gray, seorang mualaf dan bekas tentera yang menulis tentang perkara ini,” katanya, dalam laporan disiarkan portal Malaysian Insider.

Dalam pada itu beliau menegaskan, kesan daripada kedegilan ibu bapa yang masih ragu-ragu memberikan suntikan imunisasi telah menyebabkan kadar penyakit di kalangan kanak-kanak meningkat dalam tempoh tiga hingga lima tahun lepas.

“Bilangan kes Measles (campak) meningkat daripada 235 kes pada 2014 kepada 539 kes hingga September lepas, manakala penyakit Pertsis (batuk kokol) bertambah dari 497 kes (2014) kepada 655 kes tahun ini.

“Bilangan kes Tetanus (kancing gigi) juga meningkat hampir dua kali ganda daripada 12 kes pada 2014 kepada 22 kes sehingga September lepas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, alasan sesetengah ibu bapa menolak vaksin untuk anak mereka berdasarkan dakwaan suntikan yang diberikan haram dan mengandungi Deoxyribonucleic Acid (DNA) babi, adalah tidak berasas.

“Pihak kementerian tidak mewajibkan pemberian vaksin tetapi kami menggalakkan ibu bapa memberikannya kepada anak mereka kerana ia terbukti berjaya mengurangkan kadar kematian bayi,” katanya. – Kedahnews.com