Tiada Undang-Undang Yang Merendahkan Kedudukan Wanita Di Sarawak

Menteri Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah
KUCHING – Tidak ada undang-undang yang merendahkan kedudukan wanita di Sarawak, namun masih terdapat beberapa kelemahan dalam pelaksanaan tiga undang-undang – syariah, sivil, dan undang-undang adat – hingga ini dianggap merendahkan wanita.

Menegaskan demikian, Menteri Wanita, Kebajikan dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata:

“Pelaksana undang-undang di Sarawak pada masa ini begitu kurang, hingga berlaku kelewatan mendengar kes-kes.

“Di beberapa bahagian, hakim terpaksa didatangkan dari Kuching untuk menyelesaikan kes”.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Bengkel Pusat Sehenti Gadis Hamil, Perlindungan Sementara untuk Mangsa Keganasan Domestik dan Undang-undang Merendahkan Wanita, di sini.

Beliau berkata semasa bengkel itu 50 anggota jawatankuasa yang dianggotai pegawai-pegawai kementerian, peguam, wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah membincangkan dan bersetuju bahawa kelemahan pelaksanaan undang-undang perlu ditangani.

“Banyak cadangan dikemukakan semasa bengkel itu termasuk penubuhan Pusat Sehenti Gadis Hamil, dan Perlindungan Sementara untuk Mangsa Keganasan Domestik.

“Kita masih perlu memperhalusi cadangan ini menerusi satu lagi bengkel sebelum kita mengemukakan kepada kabinet atau ketua menteri,” kata beliau.

Mengenai Pusat bagi Gadis Hamil, Fatimah berkata pusat itu akan menjadi tempat bagi ibu-ibu remaja itu meneruskan pelajaran mereka.

Beliau turut mendedahkan bahawa keganasan domestik telah meningkat di Sarawak, oleh itu perlindungan sementara untuk mangsa amat diperlukan. – BERNAMA