APABILA saya membaca penderitaan dan kisah ibu-ibu tunggal melahirkan luahan hati mereka kerana tidak dapat nafkah anak-anak dari bekas suami masing-masing, terasa jantung saya berdegup pantas dan seperti dicucuk-cucuk dengan pisau.
Sakitnya hati hanya Allah sahaja yang tahu, sebabnya ini yang pernah saya lalui satu ketika dahulu dan bertahun-tahun lamanya turun naik mahkamah, tetapi akhirnya saya terpaksa menyerah kalah.
“Saya menyerah kalah bukan kerana kes saya tak kuat, tetapi kerana masalah kekurangan duit, cuti kerja dah habis dan saya rasa amat kecewa apabila kes saya langsung tidak mendapat perhatian oleh mahkamah.’’ Itu cerita Norizah dalam emelnya.
“Saya dah kahwin 10 tahun, anak ada tiga orang yang perlukan perbelanjaan bukan sahaja untuk ke sekolah, tetapi untuk dihantar kepada pengasuh, sedangkan suami boleh buat buta perut, pekak telinga, buta hati dan kepala batu, langsung tak pedulikan rayuan saya. Sebaliknya beritahu mahkamah dia ada keluarga baru yang perlu diberi nafkah untuk mereka hidup.
“Habis, macam mana dengan nasib anak-anak sedia ada seramai tiga orang ini yang perlukan perbelanjaan makan minum, sekolah, dan pakaian? Apakah dengan beritahu hakim mahkamah bahawa dia ada tanggungjawab dengan anak dan isteri baru, maka dia terlepas daripada memberi nafkah kepada anak-anak terdahulu? Apakah ini adil?
“Dengan muka tak malu sambil berbohong, bekas suami saya Akmal beritahu, gajinya kecil sebab dia sudah berhenti kerja dan majikan barunya tidak beri gaji secukupnya. Katanya lagi, syarikat baru tempat dia bekerja masih baru dan belum kukuh, sedangkan saya tahu dia masuk syarikat itu kerana dapat tawaran gaji lebih.
“Orang bodoh pun tahu, takkan dia masuk kerja syarikat baru kerana nak kejar gaji kecil? Semua orang nak kerja dengan gaji lebih baik dari sebelumnya. Lainlah kalau syarikat lama gulung tikar atau buang pekerja. Tapi hakim boleh percaya dengan pembohongannya. Sakitnya hati! Bukti yang saya tunjukkan ditolak ketepi konon saya dapat daripada sumber salah.
“Memang perceraian saya tidak ambil masa lama, sebab Akmal sendiri hendak ceraikan saya, sebabnya dia sudah ada kekasih baru. Tetapi kepada mahkamah dan keluarganya dia mengaku dan berhohong dia tidak sanggup hidup dengan saya lagi sebab sudah habis jodoh, dan sudah tidak sesuai lagi, ditambah saya seorang isteri yang sukar mendengar nasihat dan tidak boleh ditunjuk ajar. Engkarlah pendek kata!
“Saya sedih dengan pembohongannya, tetapi apa nak kata, talak ditangan suami. Walaupun kita merayu tetapi semuanya tidak dipedulikan lagi. Tetapi sebenarnya dia terasa malu sebab saya sendiri tangkap dia buat hubungan dengan wanita lain, mereka sering dating dan menghabiskan duit di luar waktu pejabat. Hingga terlupa tanggungjawab di rumah. Namun apa juga alasan saya, semuanya tidak diterima. Saya dituduh bersalah dan cerai hukuman setimpal kepada saya.
“Enam bulan lamanya saya bertahan, dengan harapan Akmal kembali kepada saya, kalau pun tidak sayangkan saya lagi, tetapi ingatlah kepada anak-anak yang semakin membesar dan memerlukan pembelaan seorang ayah.
“Sebenarnya semasa kami hidup bersuami isteri, saya banyak bantu Akmal menguruskan rumahtangga. Saya kenepikan keperluan saya yang masih muda ketika itu, baru berusia 30-an, asalkan suami saya nampak segak bergaya, dan gembira dengan keadaan rumahtangga yang tidak banyak membebankan hidupnya.
“Saya bantunya mengurus makan minum keluarga, bayar bil utiliti, petrol malah saya sanggup beli kereta kecil supaya tidak ganggu keselesaannya pergi balik kerja setiap hari. Maknanya dia tak perlu hantar anak ke rumah pengasuh, hantar anak ke sekolah waktu pagi.
"Semua saya buat. Sebab Akmal beritahu dia penat. Sedangkan kami sama-sama bekerja cari rezeki, malah rasanya saya lebih teruk terpaksa masak untuk makan malam dan ambil anak dari rumah pengasuh. Sedangkan Akmal balik tahu nasi tersedia atas meja.
“Namun saya lakukan itu semua kerana saya gembira selama kami berkahwin Akmal tidak menduakan saya, malangnyanya sangkaan saya salah, setelah ada dua orang anak baru saya sedar saya tersalah selama ini membiarkan Akmal enjoy dengan keselesaan yang diperolehinya daripada pengorbanan yang saya lakukan untuknya.
“Saya sanggup belikan dia pakaian cantik ke pejabat supaya dia dihormati oleh kawan dan ketua pejabatnya, kerana saya tak mahu dia berpakaian “cincai”. Kerana saya berpendapat jika seseorang itu gembira dengan penampilannya, pasti dia gembira bekerja, hasilnya pasti untuk kami sekeluarga juga. Kerana itu saya berkorban biar saya berpakaian ala kadar, asalkan Akmal berjaya dalam pekerjaannya.
“Malangnya, Akmal ada perkiraan lain, bila dah tampan bergaya, dia rasa dirinya popular dan digilai ramai wanita. Tak hairanlah dia terpikat dengan wanita lain, yang sama-sama gila bergaya. Wanita itu fikirkan Akmal bergaya kerana poketnya penuh, memang penuh, sebab selama ini saya yang melabur untuk dia bergaya. Sebenarnya saya salah target.
“Rupa-rupanya dalam enam bulan saya memendam rasa, menunggu dan mengharap Akmal kembali kepada saya, malangnya, dia buat rancangan kahwin lagi. Saya terus ditinggalkan dengan anak-anak. Akmal langsung tak hiraukan anak-anaknya, seolah-olah anak ini bukan anaknya lagi setelah bercerai, dan menjadi tanggungjawab saya.
Alasan
“Sejak itu saya nekad buat tuntutan nafkah. Kesabaran tidak membantu saya. Malangnya, lebih tiga tahun lamanya saya turun naik mahkamah saya masih gagal dapat nafkah. Ketika itu baru saya tahu betapa sukarnya seseorang wanita bergelar ibu tunggal menuntut keadilan dan menuntut nafkah walaupun untuk anak-anaknya sendiri.
Selain proses berjalan lambat, pelbagai kerenah terpaksa dihadapi. Kadang-kala saya dapat lihat dengan jelas hakim berat sebelah, membiarkan bekas suami lengahkan perbicaraan dengan tidak hadiri perbicaraan tanpa alasan kukuh.
“Hakim terima alasan bekas suami dakwa dia tidak hadir mahkamah kerana cuti sakit. Beberapa kali saya pulang begitu saja tanpa perbicaraan atas sebab yang tidak masuk akal. Lebih sakit hati tarikh baru perbicaraan ditetapkan amat jauh kadang-kala tiga bulan kemudian.
“Kalaupun perbicaraan berjalan, ia hanya dalam tempoh singkat tak sampai satu jam. Inilah kerenah Mahkamah Syariah, meleret dan lembab. Ini pengalaman saya.
“Jika selama ini saya dengar keluh kesan wanita yang saya anggap remeh. Tetapi bila saya sendiri lalui barulah saya sedar seksaannya. Jadi tak hairanlah mengapa kita lihat ramai ibu tunggal dan anak-anak mereka hidup terbiar tidak terbela. Malah ada wanita yang tidak mahu ke mahkamah, kerana kepada mereka membuang masa dan wang saja. Lebih baik sedikit wang yang dikumpul itu digunakan untuk makan minum anak-anak.
“Jika keadaan seperti ini dibiarkan berterusan, maka jangan hairan jika orang Islam di negara ini melahirkan ramai jumlah remaja bermasalah, anak-anak terbiar akhirnya terjebak dengan benda-benda tak baik. Ketika itu jangan salahkan ibu semata-mata, cari di manakah ayahnya yang sepatutnya menjadi pembimbing anak-anak di dunia dan di akhirat.
“Kes saya diwakili peguam, yang saya terpaksa bayar beribu-ribu ringgit. Memang saya kurang mampu, tapi bernasib baik, emak ayah dan adik beradik turut membantu, simpati dengan nasib saya. Tetapi untuk berapa lama? Macam mana pulak nasib ibu-ibu tunggal lain yang tidak bekerja, keluarga pula miskin. Pasti mereka cari bantuan Biro Bantuan Guaman, hasilnya memang tak selesailah.
“Kerana itu tidak hairanlah ramai ibu tunggal golongan kurang berkemampuan ini yang terpaksa melupakan tuntutan nafkah ke mahkamah, bukan kerana mereka banyak duit, sebaliknya mereka terpaksa bekerja lebih keras untuk mendapatkan duit untuk makan pakai anak-anak selain menanggung perbelanjaan persekolahan yang bertambah.
“Jadi masyarakat, tokoh agama, ustaz-ustaz, dan golongan seangkatan ini jangan suka-suka dan pandai-pandai salahkan anak-anak jika mereka tidak bersekolah, merempit, dan jadi kutu rayau. Sebelum menyalahkan mereka, cuba siasat dulu latar belakang mereka. Cuba cari mana silapnya. Lebih tepat di mana ayah mereka? Adakah ayah mereka telah jalankan tugas sewajarnya?
“Pada saya hingga kini nafkah yang dituntut memang tak dapat seperti yang dikehendaki, tetapi peliknya bekas suami yang selama ini mendakwa tak berduit, namun boleh berbelanja besar untuk beli perabut mewah, kereta mahal dan melanconga ke Sabah dan Sarawak.
“Lagi pelik, bekas mertua bukan sahaja tidak pernah datang menjengok cucu-cucunya, malah bertanya khabar pun tidak. Seolah-olah anak-anak saya ini bukan zuriat dan waris mereka lagi, mereka sudah jadi sejarah sahaja.
“Sedangkan mengikut ajaran Islam seperti yang saya diberitahu oleh mereka yang ahli, adalah menjadi tanggungjawab anak-anak mangsa cerai seperti anak saya ini dibantu atau ditanggung bersama oleh keluarga ayah mereka seperti datuk, nenek dan bapa saudara. “Sepatutnya anak-anak saya jadi tanggungjawab mertua saya jika anaknya betul-betul tidak mampu untuk beri nafkah, malangnya mertua lebih suka pamirkan kekayaan mereka daripada membantu cucunya.
“Pada saya nafkah anak-anak yang masih belum dijelaskan tetap saya kira hutang. Dan saya anggap nafkah ini hutang bekas suami kepada saya di dunia dan di akhirat,’’ itu cerita Norizah panjang lebar yang melahirkan simpatinya kepada ibu tunggal senasib dengannya yang masih terkial-kial menuntut nafkah anak-anak dari bekas suami masing-masing.
Sumber: Utusan