Pelakon Ayu Raudhah meluahkan rasa kasihan dan kesalnya tentang kakaknya, Rozita Che Wan, yang sering dihujani kutukan dan selalu dipertikai tentang kemewahan dimiliki aktres jelita itu.
Ayu atau nama sebenarnya Raudhah Abu Bakar @ Che Wan berkata, kakaknya yang turut dikenali sebagai Che Ta itu sebenarnya merupakan seorang wanita berhati waja dan sentiasa bekerja keras dalam bidang perniagaan sehingga tiada masa untuk diri sendiri.
"Saya kasihan tengok dia yang sering dikritik.
"Bagi saya, kemewahan yang dimilikinya sekarang ini adalah hasil usaha dia yang dia lakukan selain tidak pernah tahu erti penat," katanya.
Bagaimanapun tambah Ayu turut meluahkan keyakinan bahawa kakaknya seorang wanita yang kental dan isu-isu yang dibangkitkan di media sosial tidak pernah melemahkan semangat untuk terus berjaya.
"Apa-apa pun saya tumpang gembira dengan kehidupannya dan keluarga melihat mereka sudah ke tahap itu (mewah).
"Saya dan adik beradik lain juga mahu mengikut jejaknya menjadi ahli perniagaan yang berjaya," ujarnya yang dipetik dari mStar.
Dalam pada itu Ayu dan Rozita menjalankan perniagaan tudung dan fesyen bersama bawah jenama Zeta En Rawdah.
Sementara itu, mengenai kemenangannya sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Anugerah Skrin 2015 (ASK 2015) menerusi filem Lagenda Budak Setan 3, Ayu memberitahu tidak menyangka dia masih lagi relevan dalam industri walaupun sudah tiga tahun berehat di bidang lakonan.
"Maklumlah dah tiga tahun saya tidak berlakon, tak sangka pula kemenangan ini berpihak pada saya.
"Dan ini merupakan trofi pertama saya sepanjang tujuh tahun berlakon. Kemenangan ini jadi pembakar semangat untuk saya kembali berlakon," jelasnya. -Kedahnews.com