Tilam Di Ikea Jerman Habis Stok Gara-Gara Ratusan Ribu Pelarian


BERLIN – Ketika Jerman ‘dibanjiri’ kira-kira 450,000 pelarian asing sepanjang tahun ini, paling ramai berbanding negara Kesatuan Eropah (EU) lain, pegawai tempatan negara itu kini bertungkus-lumus lebih daripada biasa.

Minggu ini sahaja angka tertinggi dalam sejarah, lebih 37,000 pelarian Muslim dari negara-negara rantau Asia Barat dan Afrika Utara yang bergolak, pihak berkuasa tempatan di Jerman berdepan satu lagi cabaran – tilam!

Di Munich misalnya, bandar transit utama pelarian sebelum menuju ke destinasi terakhir, gedung ternama IKEA dilaporkan kehabisan semua stok tilam apabila keseluruhannya dibeli oleh pihak kerajaan tempatan berkenaan.

Pegawai kerajaan dikatakan terpaksa ‘memborong’ semua bekalan tilam yang baharu tiba dari China di setiap cawangan gedung IKEA untuk segera dihantar pula ke pusat-pusat penempatan sementara pelarian terbabit.


“Kebanyakan pelarian yang tiba di Munich didapati masih belum lagi berdaftar dengan pihak berkuasa Jerman,” kata seorang pegawai pentadbiran kanan daerah Upper Bavaria, Christoph Hillenbrand kepada pemberita.

“Pihak IKEA Jerman sendiri tidak mampu memenuhi permintaan yang cukup luar biasa ini menyebabkan penduduk tempatan pun dinasihatkan agar tidak membeli tilam baharu buat masa sekarang,” jelas beliau lagi.


Negara Eropah tersebut memiliki sejumlah 50 cawangan IKEA, iaitu paling banyak di dunia berbanding negara asal gedung terkenal barangan kediaman itu sendiri, Sweden yang cuma mempunyai 21 buah sahaja setakat ini.

Malah Jerman ialah pasaran terbesar IKEA di dunia dengan ibu negaranya, Berlin pun ada empat gedung IKEA dan salah sebuahnya, Landsberger Allee adalah ketiga paling besar di dunia selepas Korea Selatan dan Sweden.

IKEA yang diasaskan Ingvar Kamprad pada 1943, kini gedung perabot terbesar di dunia dengan 373 cawangan di 47 buah negara serta 147,000 orang pekerja dan jualan bersih 3.3 bilion euro (kira-kiraa RM15 bilion) tahun lalu. – Agensi