Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjadi pelopor
dalam perkhidmatan cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dari segi
penggunaan Sistem Pemantauan Pengurusan Bersepadu (SPPB TLDM) Versi 1.0
bertujuan melancarkan sistem pelaporan dan pemantauan pengurusan TLDM.
Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata pembangunan
sistem secara dalaman itu menggunakan kepakaran warga TLDM dengan
kerjasama Mimos Berhad.
“Ia pertama kali dilaksanakan dalam perkhidmatan ATM yang sebelum ini
sering menggunakan khidmat sumber luar untuk membangunkan sesuatu
sistem,” katanya selepas melancarkan SPPB TLDM di sini hari ini.
“Sebelum ini, kita ada banyak sistem pemantauan untuk setiap domain
yang ada dalam TLDM.
Sistem baharu ini membantu pihak pengurusan
tertinggi TLDM bagi membuat keputusan secara lebih sistematik dan
berkesan bagi ketujuh-tujuh domain utama TLDM,” jelas Abdul Aziz.
Ia merangkumi operasi, strategik, logistik, kewangan, sumber manusia, pentadbiran dan perancangan.
Katanya, inisiatif itu menjimatkan perbelanjaan wang kerajaan dan
pada masa sama menjadi medan mengaplikasi pengetahuan yang dimiliki
pegawai dan anggota TLDM.
Turut hadir Pengerusi MIMOS Berhad Datuk Wira Omar Kaseh. – BERNAMA