TMJ Akan Bertemu Presiden Real Madrid Selepas Terima Jemputan


ALOR SETAR – Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilapor akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Real Madrid CF, Florentino Pérez.

Menerusi laman Facebook rasmi Harimau Selatan, Johor Southern Tigers dalam satu kenyataan berkata, Tengku Mahkota Johor (TMJ) mengadakan kunjungan hormat itu selepas menerima jemputan daripada Pérez.

“Tunku Ismail akan berlepas ke Sepanyol pada 3 Disember 2015 bagi lawatan kerja, untuk meluaskan jaringan usahasama JDT dengan kelab-kelab gergasi dunia.

“Lawatan kerja dimulakan dengan perjumpaan bersama pemilik dan pengurusan kelab Valencia CF. Seterusnya mesyuarat bersama pengurusan FC Barcelona, kemudian kunjungan hormat atas jemputan Presiden Real Madrid CF,” kata kenyataan itu semalam.

Menurut kenyataan itu, Tunku Ismail turut dijadualkan bertemu Presiden Paris St. Germain, Naseer Al-Khelaïfi untuk membincangkan peluang menjalinkan jaringan usahasama dengan kelab gergasi Eropah tersebut.

Johor Southern Tigers bagaimanapun menegaskan kerjasama JDT dengan kelab Jerman, Borussia Dortmund masih diteruskan. –Kedahnews.com