TPM Arah KPN Bertindak Lebih Tegas Terhadap Alvin Tan


PUTRAJAYA – Perbuatan terbaharunya sengaja tunjuk gambar menerusi Facebook sedang guna kertas yang dikoyak dari kitab suci Al-Quran untuk menyapu najisnya memang mencabar kesabaran.

Bukan sahaja di Malaysia, malah umat Islam di seluruh dunia dilaporkan ramai cukup menyinga dengan tindakan biadap Alvin Tan yang ‘bermain’ provokasi jahat waima dari jauh di Amerika Syarikat (AS).

Bayangkan nasibnya kalau berada di Malaysia dan terus menerus berani membuat aksi penghinaan Islam sebegitu tetapi mujur penulis blog kontroveris itu berjaya melarikan diri dan menetap di California.


Pada Sabtu lalu, pihak pentadbir Facebook bertindak menutup lamannya itu ekoran aduan orang ramai selain didapati gagal mematuhi peraturan piawaian komuniti laman sosial berpusat di AS tersebut.

Namun Alvin sebenarnya boleh terus muncul melalui Facebook dengan mengunakan identiti lain bahkan agak sukar untuk sekat sesiapa pun membuka laman blog apa lagi yang dikendali dari luar negara.

Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi nampaknya cukup sedar dengan kemarahan umat Islam di negara ini terhadap blogger seks yang kurang ajar tersebut.

Suspek sebenarnya sudah ‘lari’ ke AS meninggalkan teman wanitanya, Vivian Lee setelah didakwa di mahkamah berhubung isu berbuka puasa dengan babi pada bulan Ramadan tahun lalu.


Pada Selasa, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk guna segala kuasa yang ada bagi mengambil tindakan tegas terhadap Alvin.

Ahmad Zahid berkata, perbuatan individu itu termasuk yang bertindak mengoyak al-Quran dan menggunakan helaiannya untuk mengelap najis adalah satu penghinaan dan tindakan cukup biadap.

“Saya tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja sama ada yang masih berada lagi di dalam atau luar negara, malah tindakan tetap juga akan dilakukan.

“Jangan jadikan inovasi dan kebebasan bersuara sebagai medium untuk menghina agama, kita ada pegangan agama dan tatasusila, kita hormati agama dan bangsa lain.” tegas beliau.

Portal AgendaDaily melaporkan, Ahmad Zahid mengeluarkan arahan demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Inovasi Kementerian Dalam Negeri di sini. – Agensi