Tun M Dakwa Anak Mantan TPM, G25 Ada Niat Tidak Baik


KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik anak mantan Timbalan Perdana Menteri, Tawfik Tun Dr Ismail berhubung kenyataannya bahawa kumpulan terkemuka Melayu tidak yakin bahawa pengganti perdana menteri mampu melakukan sesuatu yang lebih baik.

Tun M bagaimanapun berkata bahawa Tawfik berhak untuk mengatakan apa saja yang dia suka.

"Jelas dia (Tawfik) datang ke pertemuan itu dengan niat tidak baik. Di hadapan saya dia muncul memberikan sokongan tetapi di belakang saya, dia berkata sebaliknya," kata Dr Mahathir pada simposium mengenai rasuah yang dipetik dari mStar, di sini hari ini.

Tawfik dalam satu temu bual baru-baru ini mendedahkan bahawa kumpulan yang disertainya G25 telah bertemu dengan Dr Mahathir pada dua masa yang berlainan tahun ini, di mana topik menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri telah dibangkitkan.

Mengulas mengenai pertemuan tersebut, Tawfik menjelaskan bahawa kumpulan itu menolak untuk terlibat kerana mereka tidak mahu berat sebelah dan tidak yakin bahawa penggantian Najib akan menjadikan keadaan lebih baik.

Tawfik Tun Dr Ismail (kiri)
"Kami pertama kali bertemu Dr Mahathir pada awal tahun ini untuk membincangkan tentang Islam dan perlembagaan dan dia mengubah subjek kepada perubahan dalam kepimpinan.

"Saya membalas dengan berkata: Apa yang membuatkan beliau berfikir dengan menggantikan Najib ia akan menjadi sesuatu yang lebih baik? Pada masa itu, Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) masih timbalan perdana menteri," kata Tawfik.

G25 kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa kumpulan itu tidak mempunyai kaitan dengan kenyataan Tawfik, sambil berkata pandangan beliau adalah peribadi dan tidak menggambarkan pendapat kumpulan. -Kedahnews.com