Tunggu 50 Tahun, Mitsubishi Regional Jet Lancar Penerbangan Sulung


Tokyo - Jet penumpang komersial Jepun yang yang projeknya dimulakan 50 tahun lalu, membuat penerbangan sulung semalam.

Pesawat 100 tempat duduk Mitsubishi Regional Jet (MRJ) itu melakukan penerbangan selama sejam, berlepas dari Lapangan Terbang Nagoya.

Mitsubishi Heavy Industries yang membina pesawat pejuang Zero ketika Perang Dunia Kedua berharap pesawat komersial berharga $47 juta itu akan menyaingi Bombardier Inc dari Kanada sebagai pengeluar kedua terbesar dunia pesawat penumpang kecil. Pengeluar utama dunia pesawat itu ialah syarikat Brazil, Embraer SA.

MRJ ialah pesawat penumpang komersial pertama Jepun selepas pesawat 64 tempat duduk YS-11 memulakan penerbangan 50 tahun lalu.

Pesawat pertama MRJ akan mula diterima pelanggan pada Jun 2017 iaitu syarikat penerbangan terbesar Jepun, ANA Holdings.

Mitsubishi merancang menjual lebih 2,000 pesawat itu dan sudah menerima 233 tempahan dengan yang terbesar ialah 100 pesawat daripada syarikat penerbangan tempatan Amerika Syarikat, Trans State Holdings.


Menurut Mitsubishi, MRJ mampu mengurangkan sehingga 20 peratus bahan api, menggunakan enjin Pratt & Whitney.

Percubaan Jepun memasuki pasaran penerbangan komersial melalui konsortium yang turut membabitkan Mitsubishi mengeluarkan YS-11 gagal. Hanya 182 pesawat itu dibina.

Mitsubishi kemudian menjadi pembekal utama kepada Boeing Co, teramsuk sayap pesawat. - Reuters