MARANG – Masalah ternakan penduduk terutama ayam yang sering hilang
berakhir malah kebimbangan serta tanda tanya terjawab apabila seekor
ular sawa gergasi sepanjang lapan meter berjaya ditangkap di Kelulut,
malam kelmarin.
Ular sawa seberat 120 kilogram itu berjaya ditangkap sekumpulan empat
anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Marang dalam keadaan
kekenyangan selepas menelan beberapa ayam milik penduduk kampung.
Ketua operasi, Koperal Nik Mohd Firdaus Nik Riduan, 26, berkata,
pihaknya menerima panggilan selepas penduduk mengadu menemui reptilia
tersebut pada jam 10 malam.
“Sebaik kami tiba, ular sawa gergasi itu bersembunyi dalam reban
ayam. Ketika itu, berdasarkan lingkaran lilitannya, kami percaya ia
reptilia paling besar pernah dilaporkan ditemui penduduk pada tahun ini.
“Selepas didekati, kami dapati ular tersebut dalam keadaan
kekenyangan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pejabat JPAM
Marang, semalam.
Menurutnya, dia bersama tiga lagi anggota mengambil masa 30 minit
untuk mengeluarkan ular itu dari dalam reban ayam ke kawasan lapang
sebelum berjaya memasukkannya ke dalam sangkar khas yang disediakan.
Menurutnya, dengan penangkapan ular sawa itu, penduduk Kampung Kelulut kini tidak perlu lagi bimbang kehilangan haiwan ternakan.
Difahamkan, reptilia itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan
Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri tidak lama lagi.
Sumber: Sinar Harian