Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainal Abidin |
KANGAR – Umat Islam diingatkan jangan terlalu asyik berpolitik sehingga mengabaikan ekonomi yang boleh menjerumuskan ke lembah penghinaan.
Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainal Abidin berkata kekuatan ekonomi akan menjadikan sesuatu bangsa kuat dan dihormati.
“Saya tidak nafikan hak untuk berpolitik tetapi janganlah sampai memudaratkan bangsa,” katanya semasa berucap merasmikan penubuhan Koperasi Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail Kangar Perlis Berhad di masjid itu di sini, hari ini.
Zahidi yang juga anggota Parlimen Padang Besar berkata orang Melayu negara ini telah lama berjuang dalam politik namun terdapat golongan yang terlalu ‘keras’ sehingga terlupa kepada perjuangan untuk menguasai ekonomi.
Menurutnya sejak diberi tanggungjawap sebagai Pengerusi RISDA, beliau sentiasa memikirkan pendekatan untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi para pekebun kecil di negara ini.
Katanya antara pendekatan yang dilihat berupaya mengubah kumpulan tersebut ialah melalui gerakan koperasi dan kerajaan harus membuka lebih banyak peluang kepada koperasi di negara ini berniaga termasuk menjadi pemborong beras.
Sementara pengerusi jawatankuasa penaja koperasi masjid tersebut, Ismail Bidin berharap untuk menarik tidak kurang 50 anak qariah menganggotai koperasi tersebut.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Perlis, Mohd Sokri Hussain. – BERNAMA