Usahawan Bumiputera Sarawak Dapat "Durian Runtuh" Dari SCORE, Pan Borneo

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem
KUCHING - Pembangunan sosioekonomi akan terus berkembang dengan penyertaan usahawan tempatan terutama dalam aktiviti industri dan perdagangan.

Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, hasil daripada projek-projek mega seperti Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan Lebuh Raya Pan Borneo memberi manfaat yang besar kepada usahawan tempatan.

“Ruang dan peluang perlu direbut oleh penduduk tempatan khususnya Bumiputera kerana ia akan membantu meningkatkan tahap kehidupan dengan menyediakan pelbagai peluang kepada penduduk tempatan.

“Ia akhirnya akan membawa kesan yang positif secara menyeluruh,” kata Adenan.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais pada Majlis Simposium Graduan Ke Arah Keusahawanan yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama.

Adenan kemudian menyeru graduan mengambil kesempatan daripada semua bantuan dan sokongan yang disediakan melalui saluran yang betul disediakan kerajaan melalui pelbagai agensi.

“Mulakan memohon bantuan yang banyak terdapat melalui pelbagai agensi kerajaan dan apa yang diperlukan para siswazah kita adalah tutor dan bimbingan yang betul,” katanya.

“Usaha untuk menghasilkan lebih ramai usahawan adalah satu cabaran yang besar dalam keadaan ekonomi global semasa hari ini dan apa yang kita perlukan sekarang bukan sahaja memberi tumpuan kepada nombor tetapi sebaliknya berusaha ke arah usahawan yang berkualiti tinggi,” katanya.

Adenan berkata satu lagi kenyataan daripada usaha kerajaan ke arah membantu perusahaan kecil dan sederhana ditunjukkan dengan suntikan RM1.7 bilion yang diumumkan dalam Bajet 2016.

Acara dua hari itu melibatkan ceramah pengenalan memulakan perniagaan, penetapan matlamat dan pelan pembangunan kejayaan strategik.

Dibahagikan kepada empat fasa, fasa kedua akan menyaksikan ‘Bootcamp’, diikuti dengan inkubator latihan atau industri dalam fasa tiga dan memulakan perniagaan dalam fasa empat.

Program ini disasarkan kepada graduan dari Sarawak yang berumur 21 hingga 35 tahun yang masih belum mempunyai pekerjaan yang stabil dan berminat dalam bidang keusahawanan.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian (Pembangunan Estet Perindustrian) Datuk Peter Nansian Ngusie, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) Datuk Dr Stephen Rundi dan Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat. 

Sumber: UB