Veteran UMNO Mahu Anak Mantan TPM Segera Minta Maaf

Datuk Mustapha Yaakub
Veteran Umno menggesa anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, Mohamed Tawfik supaya memohon maaf kepada umat Islam di negara ini kerana mencadangkan agar memansuhkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Setiausaha Agungnya Datuk Mustapha Yaakub berkata, seseorang itu patut berdiam diri jika tidak tahu fungsi Jakim daripada menyerlahkan kejahilannya dalam agama.

“Kenyataan Tawfik yang mahu kerajaan menghapuskan Jakim adalah kenyataan ‘unislamic’ oleh seorang Islam. Tidak ada sebab perlu dimansuhkan kecuali Tawfik menjadi agen kepada bukan Islam yang tidak senang dengan peranan Jakim.

“Adakah Tawfik cuba jadi jurucakap kepada gerakan anti Islam yang tidak senang dengan peranan Jakim seperti dakwaan yang mengatakan Jakim menyebar dakyah melalui khutbah Jumaat,” katanya, memetik laporan Sinar Online.


Menurutnya lagi adalah memalukan kerana seorang Muslim tergamak mengeluarkan kenyataan dangkal dan tidak bermaruah tanpa mempunyai sebarang alasan kukuh.

Tawfik sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa Jakim perlu dimansuhkan kerana pertubuhan itu hanya campur tangan dalam kehidupan peribadi rakyat Muslim Malaysia.

Tawfik turut menyebut, di awal kemerdekaan dahulu menteri-menteri bebas untuk minum wiski tanpa dipertikai oleh masyarakat terdahulu. –Kedahnews.com