VIDEO: "Kenapa Suka-Suka Cikgu Nak Lempang Dia??? Kenapa?!!!"


Sebuah rakaman video aksi seorang lelaki dipercayai bapa kepada seorang murid di sebuah sekolah ‘menyerang’ seorang guru wanita kerana mendakwa anaknya ‘dilempang’ menjadi sensasi menerusi media sosial.

Kejadian dikatakan berlaku di Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh, Hutan Melintang, Perak apabila lelaki tersebut dilihat menyerbu sekolah terbabit, sebelum menyerang guru itu dalam satu majlis.

Menerusi video tersebut, pada mulanya lelaki berkenaan cuba ditenangkan oleh seorang pengawal keselamatan wanita di sekolah itu, namun tidak diendahkan olehnya.

Dia terus memanggil nama seorang guru dengan berkata “Cikgu Hamizah mana? Kenapa suka-suka cikgu nak lempang dia kenapa?,” jerit kuat bapa kepada murid terbabit.

Bagaimanapun, guru tersebut yang dikenali sebagai Hamizah Hamid, 35 tahun; dilihat tenang dan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan telah melempang anak lelaki tersebut.


Suasana bertambah kecoh apabila bapa murid itu turut mendakwa anaknya terpaksa dibawa ke klinik bagi rawatan dan sebagai menunjukkan bukti, dia mengeluarkan ‘surat pengesahan’ doktor yang menyatakan anaknya cedera akibat dilempang.

Namun, detik cemas itu bertukar kegembiraan apabila aksi menyerang guru itu hanyalah lakonan atau ‘prank’ semata-mata bagi tujuan menyampaikan hadiah kepada Cikgu Hamidah yang memenangi sebuah beg tangan berjenama mewah, Louis Vuitton yang dikatakan bernilai RM3,700.

Video tersebut diterbitkan oleh Sinar Studios Production bagi segmen ‘Redah Kasi Hadiah’ dan dimuat naik menerusi laman YouTube SinarTV pada 16 November, baru-baru ini. -Kedahnews.com