VIDEO: Kes Buli Pelajar Sekolah Di Sematan, 4 Pelajar Ditahan Polis


Sebuah rakaman video yang memaparkan seorang pelajar perempuan disepak, ditampar dan dimalukan rakan sebaya kini tersebar di laman sosial.

Difahamkan, kejadian berlaku di sebuah sekolah menengah dekat Sematan, Sarawak.

Berdasarkan video berdurasi 2 minit 51 saat itu, mangsa kelihatan mendiamkan diri, menangis dan tidak melawan apabila diperlakukan sedemikian oleh dua pelajar perempuan lain yang nampak tidak berpuas hati dengannya.

Menurut pihak yang memuat naik video ini, mangsa didakwa telah memfitnah dua pelajar terbabit menyebabkan mereka berang dan nekad ‘mengajar’ mangsa di dalam kelas pada waktu rehat.

Kejadian itu disaksikan beberapa pelajar lain termasuk beberapa pelajar lelaki namun tiada seorang pun yang tampil bagi membantu mangsa mahupun menghentikan perbuatan dua pelajar terbabit.


Posted by Kedahnews.com on Monday, November 23, 2015
Memetik sumber media tempatan, empat pelajar yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli berkenaan telah ditahan pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.

"Laporan telah diterima dan kita sedang ambil tindakan untuk mengesahkan video tersebut.

"Buat masa ini, seramai empat pelajar yang disyaki terlibat telah ditahan dan kes disiasat sebagai rusuhan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan," jelas Ketua Polis Daerah Lundu DSP Wong Chee Keong dalam satu kenyataan.

Menurut Wong lagi, kesemua pelajar yang ditahan serta mangsa didapati berusia 16 tahun iaitu pelajar tingkatan empat di sekolah berkenaan.

"Mangsa dan suspek masing-masing berusia 16 tahun," katanya yang turut memberitahu pihaknya masih menyiasat punca serta bila kejadian tersebut berlaku.

Sementara itu, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, perbuatan tersebut tidak mendatangkan situasi menang-menang, meskipun mangsa dibuli kerana telah melakukan kesalahan lain.

"Kebiasaannya, kes buli yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah adalah berpunca daripada perasaan tidak puas hati sesama pelajar.

"Dalam kes yang berlaku di sebuah sekolah menengah asrama di Sematan, saya difahamkan bahawa mangsa dibuli kerana mencuri barang milik pembuli.

"Hal ini bukanlah satu situasi menang-menang, ia adalah situasi kalah-kalah kerana membuli akibat mahu membalas dendam juga merupakan satu kesalahan," katanya mengulas mengenai kejadian buli berkenaan. –Kedahnews.com