Serena Williams |
Nampak gayanya, seorang lelaki yang mencuba untuk mencuri telefon bimbit seorang wanita di sebuah restoran ini tersilap memilih mangsa.
Mana tidaknya, mangsa yang dimaksudkan adalah wanita perkasa yang juga pemain tenis wanita nombor satu di dunia, Serena Williams!
Mungkin dia terlupa bahawa wanita itu mempunyai kekuatan hayunan tangan yang boleh memberi tamparan maut kepadanya.
Namun begitu, menerusi rakaman litar tertutup CCTV restoran di San Francisco itu, pemain tenis berusia 34 tahun tersebut hanya mengejar lelaki itu dan memintanya kembali sebelum melepaskannya pergi.
Menurut laporan media tempatan, Serena cuba bersikap profesional dan bertanya dengan baik sama ada lelaki itu ‘tersilap’ ambil gajet berkenaan sebelum dia memulangkannya kembali.
Tiada tangkapan dibuat kerana Serena dikatakan tidak mahu ada konflik dengan lelaki terbabit dan persoalan mengapa atlet itu menjadi sasaran masih lagi tidak jelas.
Sementara itu, menerusi laman Facebooknya, Serena telah menyeru semua kaum hawa untuk bangkit dan pertahankan diri mereka sendiri daripada menjadi mangsa pencuri berserta gambarnya sebagai Superwoman!
Sememangnya tindakan beraninya itu menjadi inspirasi kepada ramai orang di luar sana namun pakar bidang jenayah menasihatinya dan masyarakat untuk lebih berhati-hati jika berhadapan dengan situasi seperti itu.
Ia sangat berbahaya kerana berdasarkan kes seperti itu, beberapa mangsa telah mati dibunuh oleh penjenayah kerana cuba berhadapan dengan mereka. – Agensi