Kanak-kanak yang dikatakan menceroboh masuk ke sebuah rumah kosong di Bandar Seri Astana Fasa B semalam yang menjadi viral di Facebook. |
SUNGAI PETANI – Penduduk Bandar Seri Astana Fasa B gempar apabila menyedari kejadian pecah rumah di kawasan itu semalam dilakukan sekumpulan kanak-kanak berusia antara 9 hingga 15 tahun.
Kejadian disedari apabila penduduk dikenali sebagai Haris, 50, ternampak seorang kanak-kanak dalam keadaan mencurigakan di hadapan sebuah rumah kosong sebelum memaklumkan pengawal keselamatan.
Pemeriksaan lanjut menemui tiga basikal disembunyikan dalam longkang berhampiran rumah itu yang dinaiki empat kanak-kanak berusia 9, 12, 14 dan 15 tahun bagi menyembunyikan kegiatan mereka.
Bagaimanapun, semasa penduduk melakukan pemantauan, seorang daripada empat kanak-kanak berkenaan melarikan diri melalui bumbung atas rumah dua tingkat itu manakala tiga yang lain dicekup.
“Kita percaya mereka menceroboh masuk sejak beberapa hari lalu berdasarkan kesan geledah rumah berkenaan selain kerosakan yang dialami.
“Waris salah seorang daripada mereka turut dipanggil selain memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa,” katanya.
Haris berkata, kejadian seumpama itu (kes pecah rumah) melibatkan kanak-kanak bukanlah kali pertama dilaporkan dan yakin kumpulan berkenaan aktif menjalankan kegiatan sama di perumahan terbabit berdasarkan laporan penduduk sebelum ini.
Seorang penduduk, Rosli Saad, 50, berkata, dia mengetahui kejadian itu melalui status Facebook dihantar seorang kawan dan terus bergegas ke rumah miliknya yang terletak selang sebuah rumah dari lokasi kejadian.
“Apabila diperiksa, rumah itu turut jadi sasaran geng pecah rumah, sejak ditinggalkan beberapa tahun lalu. Kali terakhir saya datang adalah pada tiga bulan lalu.
“Malah, saya syak suspek masuk melalui tingkat atas rumah sebelum memanjat ke beberapa rumah lain yang juga tak berpenghuni,” katanya.
Lebih malang, Rosli berkata, pintu biliknya dikopak, siling dibuka, katil dialihkan dan paip getah dipasang ke bumbung kemungkinan digunakan oleh suspek untuk memanjat ke bahagian bumbung.
Jelasnya, turut dijumpai alat pecah rumah dan lain-lain perkakasan bukan miliknya ditinggalkan dalam sebuah bilik.
"Saya syak mungkin kes yang berlaku itu berkaitan antara satu sama lain tapi tak tahu sejauh mana kanak-kanak yang dikaitkan terlibat dengan kejadian itu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian dan kes terbabit hanya menjadi viral di Facebook semata-mata.
Sumber: Sinar Harian