Wan Azizah Dedah Strategi Jatuhkan UMNO Melalui Serangan Terhadap Najib

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menjelaskan agenda pembangkang membangkitkan pelbagai isu ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan hanya untuk menjatuhkan pemimpin tertinggi UMNO tersebut.

Beliau sebaliknya mengakui serangan ke atas Najib selama ini adalah agenda pembangkang PKR untuk memusnahkan UMNO sekali gus merampas kuasa pentadbiran negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) daripada Barisan Nasional (BN).

“UMNO tidak mampu membendung kecurigaan sesama mereka. Hari ini Umno berantakan. Ramai dalam kalangan ketua-ketua UMNO cawangan sedang nekad menggesa Najib meletakkan jawatan.

“Namun agenda kita bukan hanya untuk mengundurkan Najib seorang sahaja. Kita mahu turunkan mereka semua” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook rasmi beliau hari ini.

Ramai pemimpin pembangkang terutama DAP sejak kebelakangan ini memujuk ahli dan ketua-ketua cawangan UMNO supaya menjalin kerjasama untuk menjatuhkan Najib dengan alasan kononnya untuk menyelamatkan Malaysia.

Senario itu menyebabkan segelintir kecil ketua cawangan UMNO bertindak mengancam Najib supaya meletakkan jawatan kerana percaya dakyah parti-parti pembangkang terbabit. –Kedahnews.com