KUALA LUMPUR – Derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiada kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin.
Beliau menegaskan kedua-dua isu itu berbeza dan ini perlu dijelaskan kepada rakyat.
“Anda perlu faham bahawa 1MDB dan RM2.6 bilion adalah sama sekali berbeza. 1MDB tidak ada kena mengena dengan RM2.6 bilion…biar orang awam tahu kedua-duanya isu yang berasingan,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusi mesyuarat bersama beberapa pihak berkaitan projek akuakultur di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 di bangunan Parlimen di sini.
Katanya kesimpulannya itu dibuat berdasarkan laporan interim siasatan Ketua Audit terhadap syarikat pelaburan strategik negara itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Hasan Arifin. |
“Tidak perlu lagi,” katanya ringkas selepas didesak pemberita untuk mengulas sama ada barisan PAC yang baharu kali ini akan memanggil Najib, selepas pengerusi jawatankuasa sebelum ini Anggota Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed sebelum ini menyatakan bahawa Najib akan dipanggil jika ada keperluan.
Ditanya mengenai laporan PAC berkenaan isu 1MDB itu, Hasan berkata ia akan dilaksanakan dengan harmoni serta objektif dan berharap ia dapat dibentangkan di Parlimen secepat mungkin.
Katanya PAC akan memanggil Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy dan bekas penjawat jawatan itu, Datuk Mohd Shahrul Ibrahim Halmi, minggu depan.
“Mereka (Arul dan Mohd Shahrol) adalah dua individu penting yang kami ada yang perlu dipanggil dahulu dan diikuti individu lain jika kami fikir perlu dipanggil,” katanya. – BERNAMA