Warga Emas 69 Tahun Maut Dilanggar Bas Kilang Di Kulim


KULIM - Seorang wanita warga emas maut setelah dilanggar bas kilang ketika cuba melintas jalan di hadapan sebuah bank, di Jalan Putera, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, dalam kejadian pukul 7 pagi itu, wanita berusia 69 tahun berkenaan sedang melintas jalan dari arah bangunan bank tersebut ke seberang jalan.

"Tiba-tiba bas kilang yang datang dari arah Kilang Lama ke Kulim terlanggar warga emas itu menyebabkan mangsa rebah dan maut di tempat kejadian," katanya.

Menurut Abdullah, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kulim untuk bedah siasat. - Bernama