Che Tom (kanan) menemani adik iparnya, Jemaliah (kiri) yang tidak mampu bergerak. |
KUALA KEDAH - Seorang wanita warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) dari Kampung Telok Layang, Teluk Kechai, di sini, tidak memiliki MyKad sejak 50 tahun lalu.
Anak bongsu daripada lapan beradik berkenaan, Jemaliah Hamid, 62, didakwa hanya memiliki surat beranak sejak dilahirkan.
Abangnya, Osman Abd Hamid, 72, berkata, dahulu ada individu menawarkan bantuan untuk mendapatkan kad pengenalan untuk Jemaliah.
"Tapi sehingga sekarang masih tak ada khabar berita.
"Sebaliknya adik cuma dapat surat beranak baru saja pada 2011," katanya.
Menurutnya, mereka mendakwa tidak berupaya membawa adik perempuannya membuat MyKad berikutan keadaan yang tidak mengizinkan terutamanya faktor fizikal Jemaliah.
Osman berkata, fizikal Jemaliah keras dan tidak mampu bergerak sejak dia berusia 11 tahun selepas terjatuh ketika melalui sistem perparitan.
"Isteri saya, Che Tom Ismail yang berusia 68 tahun menguruskan Jemaliah setiap hari termasuklah memberi makan dan mandi," katanya.
Katanya, mereka sekeluarga bimbang akan berdepan kesukaran mendapatkan bantuan untuk Jemaliah sekiranya tidak memiliki kad pengenalan itu.
"Mujur adik jarang jatuh sakit. Kalau tak, kami risau ada masalah untuk dapatkan rawatan untuk dia," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Bantuan Bertindak Negeri Kedah (PBBNK), Mohd Yussof Jaafar berkata, pihak mereka akan memantau perkembangan masalah dialami Jemaliah.
"Kami akan cuba mendapatkan bantuan daripada mana-mana jabatan bagi meringankan beban Jemaliah," katanya.
Sumber: Sinar Harian