Lelaki warga New Zealand bersama seorang wanita tempatan ditahan selepas didapati memiliki cop keselamatan palsu Jabatan Imigresen di ICQS semalam. |
Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, lelaki berusia 56 tahun itu diperiksa di laluan keluar penumpang untuk ke Thailand kira-kira jam 7.30 pagi.
Menurutnya, turut bersama lelaki itu, seorang wanita kelahiran Sarawak yang mendakwa sebagai isteri lelaki berkenaan.
"Semakan pada pasport lelaki ini menunjukkan ada keraguan pada cop lawatan dan cop keluar yang dikeluarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru.
"Hasil siasatan lanjut, lelaki ini tiba di Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dari Kuala Lumpur untuk ke Thailand bagi tujuan melancong," katanya.
Mohamad Yusri berkata, pihaknya yakin lelaki itu mahu ke Thailand untuk tujuan transit sebelum memasuki semula negara ini.
"Bagaimanapun lelaki ini ditahan kerana kesalahan memiliki cop keselamatan palsu Jabatan Imigresen di dalam pasport miliknya dan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(I) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
"Manakala wanita tempatan berumur 50 tahun itu tidak ditahan dan hanya dirakam kenyataan bagi membantu siasatan," katanya.
Katanya, lelaki itu dibawa ke lokap Jabatan Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar dan tindakan lanjut akan diambil sebelum diserah ke Depoh Tahanan Jabatan Imigresen, Belantik, Sik.
Sumber: Sinar Harian