Yang DiPertuan Agong Kurnia Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan mengurniakan Darjah Kesatria Mangku Negara kepada Setiausaha Bahagian Asia Barat Wisma Putra, Datuk Mohd Khalid Abbasi Abd Razak Khan Abbasi pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2015 di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2015 kepada 109 penerima.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke istiadat pengurniaan itu yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara di sini bersempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka yang disambut pada 6 Jun lepas.

Mendahului senarai penerima darjah pada istiadat pengurniaan kali ini ialah Ketua Staf Khas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESScom) Brig Jen Datuk Tuan Roslan Tuan Ismail yang menerima Darjah Johan Setia Mahkota (JSM).

Turut menerima darjah JSM ialah Pengurus Besar (Kewangan) Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tengku Haliza Tengku Muhammad.

Tuanku Abdul Halim turut mengurniakan Darjah Kesatria Mangku Negara (KMN) kepada 22 penerima antaranya Setiausaha Bahagian Asia Barat, Kementerian Luar Negeri Datuk Mohd Khalid Abbasi Abd Razak Khan Abbasi.

Sementara itu, 39 individu lain menerima Darjah Ahli Mangku Negara (AMN) manakala 46 yang lain menerima Pingat Pangkuan Negara (PPN). – BERNAMA