Ziana Zain Tolak Semua Tawaran Berlakon Demi Anak-Anak

Penyanyi dan pelakon bertaraf diva, Ziana Zain
Siapa yang tidak kenal dengan penyanyi dan pelakon bertaraf diva, Ziana Zain atau nama sebenarnya, Siti Roziana Zain, yang cukup sinonim dengan "trademark" kening terangkat ketika melakukan persembahan ini.

Selain namanya gah dalam industri nyanyian dengan kekuatan vokalnya, kredibiliti Ziana Zain dalam bidang lakonan juga tidak dapat dinafikan.

Namun sejak kebelakangan ini, diva pop ini boleh dikatakan jarang sekali muncul dalam mana-mana filem atau drama.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Ziana memberitahu bahawa dia sebenarnya terpaksa menolak semua tawaran berlakon kerana mahu memberi fokus kepada anak-anaknya yang masih lagi bersekolah.


“Memang saya rindu sangat nak kembali berlakon. Banyak dapat tawaran drama bersiri dan filem, tetapi apabila fikir anak-anak masih bersekolah dan belum mampu seimbangkan masa, itu yang membuatkan saya terpaksa menolak semua tawaran.

“Saya lebih mendahulukan anak-anak yang sedang membesar. Biarpun hati berkobar-kobar nak kembali berlakon sebab seronok menjadi orang lain pada setiap watak yang diberikan,” ujar Ziana yang dipetik dari sebuah portal hiburan terkenal.

Terdahulu, Ziana pernah membintangi beberapa filem antaranya, Sembilu, Maria Mariana dan Magika.

Keluarga bahagia Ziana - Gambar dari Instagram Ziana Zain
Ziana sehingga kini merupakan ibu kepada empat cahaya mata, Mohd. Aiman, 16; Mohd. Ammar, 13; serta pasangan kembar, Mohd. Aryan dan Siti Nour Kaseh, 7.

Walaupun sibuk menguruskan keluarga serta karier, bintang yang berusia 47 tahun itu tidak mengabaikan penjagaan kesihatan serta kecantikan diri.

Menurutnya, selain bersenam dan mengikuti kelas yoga, Ziana juga mengamalkan pengambilan makanan mengikut darah jenis B. –Kedahnews.com