119 Mangsa Banjir Di Bandar Baharu Ditempatkan Di Pusat Pemindahan


BANDAR BAHARU - Seramai 119 mangsa banjir melibatkan 37 keluarga masih ditempatkan di dua pusat pemindahan di kawasan ini sejak 25 November lalu.

Bagaimanapun, difahamkan keadaan banjir mulai surut sejak kelmarin dan hanya menunggu arahan daripada Pengerusi Bencana Daerah, Mohamad Che Nai untuk menutup dua pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kechil dan SK Bandar Baharu, di sini.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Noor Azizah A Razak berkata, setakat ini jumlah mangsa banjir tidak berubah dan pihaknya tidak menghalang sekiranya ada penduduk yang mahu pulang ke rumah.

"Keadaan cuaca sudah baik dan ada juga mangsa sudah mula pulang untuk membersihkan rumah. Difahamkan air sudah mulai surut sejak semalam (kelmarin).

“Setakat ini sebanyak tiga keluarga sudah keluar dari pusat pemindahan dan pulang ke rumah. Kita faham mereka juga mahu melakukan aktiviti harian,” katanya.

Menurutnya, mereka juga melakukan persediaan kemungkinan adanya gelombang banjir kedua.

"Keperluan makanan dan asas mencukupi untuk kegunaan mangsa banjir di kedua-dua pusat pemindahan," katanya.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa kampung terlibat banjir juga mendapati kebanyakan penduduk yang tidak berpindah ke pusat pemindahan mula membersihkan kediaman mereka.

Terpaksa randuk air

Antara mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan SK Bandar Baharu.
Mangsa, Salasiah Hassan, 64, berkata, dia yang tinggal bersama seorang anak lelaki dan tiga cucunya di Kampung Permatang Pasir terpaksa meranduk air hampir seminggu.

Menurutnya, kejadian banjir yang berlaku itu adalah yang terburuk selepas 1999 berikutan air naik hampir 0.5 meter agak lama.

"Saya tak pindah ke pusat pemindahan banjir. Kami sekeluarga duduk atas katil.

"Nak masak, nak mandi semua kena randuk air. Sehingga hari ini (semalam) barulah air surut dan saya dapat cuci rumah," katanya.

Salasiah berkata, mereka juga mendapat penyakit kulit terutama di bahagian kaki kerana terdedah dengan air banjir.

"Selalu air tak masuk dalam rumah, jadi kami tak ada buat persediaan meletak barang-barang berharga di tempat tinggi menyebabkan banyak perabot rosak," katanya.

Masriah Arsad, 60, pula berkata, sudah hampir seminggu dia berada di pusat pemindahan banjir SK Bandar Baharu bersama empat saudaranya.

"Saya tinggal di Kampung Ban Syariah dengan adik dan dua anak saudara yang mana seorangnya lelaki kurang upaya (OKU).

"Agak susah bila berlaku banjir kami terpaksa berpindah ke sini. Walaupun tak selesa macam dekat rumah, tapi ramai yang membantu memberi makan dan kesihatan kami juga dijaga," katanya.

Mangsa terus dibantu

Dalam pada itu, Pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Kulim, Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, pihaknya komited dan bersedia untuk memberi bantuan kepada mangsa bencana.

“Kita sentiasa bersama mangsa banjir dan beberapa anggota bertugas untuk memastikan keadaan mereka

“Keadaan banjir ini juga masih di bawah pemantauan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Manakala, pasukan sukarelawan dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pasukan Institusi Pertahanan Awam (Pispa) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) juga turut bersama berganding bahu bagi membantu mangsa banjir.

Pegawai Pispa, Rohazam Ahmad berkata, pihaknya mempunyai 33 kekuatan anggota untuk membantu JPAM bersama mangsa menghadapi bencana banjir.

“Kita menghantar 10 pelajar Kolej Komuniti Bandar Baharu untuk bersama JPAM membantu mangsa banjir dan kita juga akan terlibat dalam aktiviti membersihkan rumah mangsa,” katanya kepada Sinar Harian.

Pengerusi GPMS, Asri Ariff Abd Malik berkata, mereka juga turut melakukan pemantauan terhadap mangsa banjir dan memberi sumbangan makanan asas.

Sumber: Sinar Harian