12 Kandang Baru Zoo Taiping Mampu Gamit Ramai Pengunjung


TAIPING – Majlis Perbandaran Taiping (MPT) yakin usaha membina 12 kandang pameran baharu di Zoo Taiping dan Night Safari mampu menarik kedatangan lebih ramai pelancong ke sini.

Ketua Bahagian Pelancongan, Pendidikan dan Seranta MPT Hanim Ramly berkata kandang yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap tahun depan itu merupakan projek menaiktaraf kemudahan di zoo tersebut.

“Projek ini tidak mengganggu kedatangan pengunjung di sini kerana ia memberi impak kepada usaha memajukan sektor pelancongan yang menarik di daerah ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata ruang pameran berkonsepkan kandang terbuka bernilai RM3 juta itu akan memudahkan pelancong melihat binatang yang ditempatkan di situ dengan lebih jelas dan dekat selain memastikan keselesaan haiwan.

Hanim berkata kandang baharu itu akan menempatkan antaranya monyet spesis marmoset dan tamarin, orang utan, cimpanzi, kambing gurun, harimau belang, rusa ubi, kucing tulap dan pameran hutan tanah pamah.

“Setakat ini, dua projek fasa pertama dan kedua yang melibatkan pembinaan bangunan pejabat pentadbiran dan kaunter tiket serta pameran gajah Sungai Perak, pembinaan kandang Savana Afrika serta stesen tram telah siap,” katanya.

Beliau berkata kerajaan pusat melalui Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memperuntukkan lebih RM10 juta kepada MPT bagi pembangunan dan menaiktaraf Zoo Taiping dan Night Safari sejak 2011 hingga tahun ini.

Selain itu, beliau berkata, MPT dan NCIA sedang berunding untuk mendapatkan dana bagi membantu pemasaran dan promosi bandar warisan ini kepada pelancong di dalam dan luar negara.

“Antaranya ialah membina sekurang-kurangnya empat lagi papan digital (billboard) di beberapa kawasan strategik di daerah ini. Pembinaan papan digital ini perlu kerana Tahun Melawat Perak akan bermula pada 2017,” katanya.

Beliau berkata syarikat swasta yang berminat untuk membantu mempromosi Taiping boleh menghubungi MPT bagi mendapatkan maklumat lanjut. – BERNAMA