BATU PAHAT – Semua 13 mayat pelancong Malaysia yang maut dalam nahas di Chiang Mai, Thailand, Ahad lalu dijangka tiba ke Malaysia hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor, Datuk Tee Siew Kiong berkata mayat berkenaan dijangka tiba sama ada petang atau malam ini dengan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Thailand.
Bagaimanapun, katanya, Wisma Putra kini masih menyelaraskan lagi urusan penghantaran pulang semua mayat berkenaan.
“Saya difahamkan pejabat Kedutaan Malaysia di Bangkok bahawa proses bedah siasat kesemua mayat sudah selesai jam 1 pagi tadi dan kini proses pengesahan DNA sedang dijalankan.
“Daripada maklumat awal yang diperoleh kerajaan negeri, semua mayat dijangka tiba sama ada di Subang atau Senai sebelum dibawa pulang ke Batu Pahat, ” katanya yang dipetik dari Berita Harian, di sini, sebentar tadi.
Dalam kejadian pada jam 12.20 tengah hari (1.20 tengah hari waktu Malaysia) itu, bas yang dinaiki 22 pelancong dari Batu Pahat itu dipercayai terbabas selepas merempuh kereta dan tiang elektrik di Jalan Chiang Mai-Chiang Rai dekat Tambon Pamieng yang terletak dalam daerah Doi Sarket, 700 kilometer dari Utara Bangkok, Thailand.
Kemalangan itu menyebabkan 13 daripada pelancong disahkan maut, manakala empat dari mereka cedera parah, selain lima pula mengalami kecederaan.