14 Rumah, Dewan Orang Ramai, Masjid Di Sg Petani Rosak Dipukul Ribut

Bumbung rumah penduduk yang rosak.
SUNGAI PETANI - 14 buah rumah, dewan orang ramai dan masjid di Taman Keladi mengalami kerosakan akibat dilanda ribut, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, angin kuat turut menyebabkan kubah Masjid Taman Keladi tercabut.

Ahli Jawatankuasa masjid, Idrus Abu Bakar ketika ditemui semalam berkata, kubah masjid berkenaan diterbangkan angin sejauh 50 meter.

Menurutnya, perkara itu hanya disedari ketika dia hadir ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib, kelmarin.

Katanya, sebahagian ruang utama solat turut basah kerana dimasuki air gara-gara bumbung mengalami kebocoran.

Idrus berkata, pihak masjid sudah melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk proses pembaikan.

Sementara itu, seorang penduduk, Yusof Ahmad,67, berkata, ketika ribut kuat dia sedang berada di dalam rumah.

Menurutnya, angin berserta hujan lebat itu menyebabkan bumbung rumahnya diterbangkan angin dan kereta ahli keluarganya mengalami kerosakan kerana dihempap bumbung berkenaan.

Seorang lagi penduduk, Arfah Saari ,53, berkata, suasana pada petang kelmarin menakutkan kerana bunyi angin yang kuat.

Katanya, dia bersama ahli keluarga yang lain berlindung di dalam rumah kerana bimbang dengan angin itu.

“Kerana angin terlalu kuat, saya menyuruh anak lelaki keluar untuk laungkan azan, Alhamdulillah tidak lama kemudian keadaan beransur-ansur pulih,”katanya.

Jelasnya lagi, kesan dari ribut itu, bumbung di hadapan rumahnya mengalami kerosakan teruk termasuk bahagian dapur yang terjejas.

Seorang lagi penduduk, Abd Rashid Hussin, 52, berkata, empat rumah berhampiran kediamannya terjejas dan mengalami kerosakan terutama di bahagian bumbung.

Sementara itu Pegawai Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Kuala Muda, Azahar Ahmad berkata ribut yang berlaku antara jam 6 petang hingga pukul 10 malam itu turut menyebabkan pokok tumbang di Jalan Bandar Perdana, Sekolah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya dan Taman Keladi.

“Sebatang pokok dilapor tumbang dan menghempap sebuah rumah di Taman Keladi. Bagaimanapun tiada kecederaan berlaku.

“Pihak JPAM bersama-sama pasukan bomba sudah melakukan kerja-kerja memotong pokok yang tumbang dan membersihkan laluan di kawasan terlibat,” katanya.

Sumber: Sinar Harian