1MDB: AG Nasihat Tak Keluar Kenyataan, Penyumbang Sudah Dikenal Pasti

T
imbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenalpasti individu yang menyumbang RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun wang tersebut bukanlah dari dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti mana dakwaan pemimpin parti pembangkang yang mahu mencemar imej Najib.

“Pada 4 Ogos 2015, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah memaklumkan bahawa jumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri bukan dari 1MDB.

“Kerajaan telah dinasihatkan Peguam Negara bahawa apa-apa kenyataan tidak wajar diberikan memandang perkara tersebut masih dalam siasatan oleh agensi berkaitan.

“Namun begitu, saya rasa perlu dimaklumkan bahawa SPRM telah kenal pasti penderma dana politik RM2.6 bilion itu,” katanya dalam sesi Dewan Rakyat di Parlimen hari ini.

Berikutan isu derma yang mendapat perhatian umum dan pelbagai reaksi, Perdana Menteri telah mengenengahkan semula cadangan asal untuk mengawal selia pemberian dana politik dengan menubuhkan Jawantankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) yang akan mengambil kira pandangan semua pihak berkaitan.

Kerajaan juga telah dinasihatkan oleh Peguam Negara tidak mengeluarkan sebarang kenyataan tidak wajar berhubung perkara yang dibangkitkan memandangkan ianya masih dalam siasatan oleh agensi yang berkaitan.

Pada masa sama, Zahid menjelaskan bahawa dalam sistem demokrasi amalan menerima dana politik dibenarkan kepada parti-parti politik termasuk pembangkang.

Katanya, Malaysia masih tidak mempunyai undang-undang yang menyatakan derma atau pembiayaan politik perlu diisytiharkan dan tidak mengharamkan derma untuk penggunaan politik.

Sebelum ini, Najib pernah menggesa supaya undang-undang dan peraturan berkaitan dana politik  diwujudkan bagi mengawal penerimaan dana dan sumbangan untuk parti dan tujuan politik.

Beliau pernah mencadangkan perkara tersebut empat tahun lepas tetap dibantah parti pembangkang, yang kemudiannya, menjadikan dana politik sebagai isu apabila perkara seperti itu dikaitkan dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN). -Kedahnews.com