KUALA LUMPUR - 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyelar Wall Street Journal (WSJ) kerana "mengitar semula tuduhan tidak berasas" dalam satu artikel yang diterbitkan pada Selasa.
Dalam kenyataan di sini, 1MDB berkata artikel itu "sekali lagi hanya mengitar semula tuduhan tidak berasas yang sama diterbitkan akhbar itu buat pertama kalinya pada pertengahan 2015".
"Hakikatnya adalah tiada berita sebenar dalam artikel ini. Atas sebab yang hanya diketahui oleh pengurusannya, WSJ dilihat gembira untuk menjadi papan notis bagi teori-teori konspirasi dan memburuk-burukkan yang disebarkan oleh pembangkang Malaysia," katanya.
Artikel WSJ bertajuk 1MDB and the Money Network of Malaysian Politics mengulangi tuduhan bahawa sekurang-kurangnya US$700 million (RM3 bilion) daripada sumber tidak didedahkan telah didepositkan ke dalam akaun bank Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
1MDB berkata: "WSJ amat sedar bahawa tuduhan itu menjadi perkara pokok dalam siasatan terperinci yang sedang dijalankan oleh pelbagai pihak berkuasa undang-undang di Malaysia.
"Lagipun, seperti yang diakui oleh akhbar itu berulang kali dalam artikel itu, tiada aktiviti tidak sah didakwa telah berlaku.
"Kami, dengan itu, bingung kenapa WSJ meneruskan kempen ini untuk memburuk-burukkan 1MDB dan Malaysia." - BERNAMA