IPOH - Dua anggota polis cedera selepas dipercayai dilanggar dengan sengaja oleh sebuah kereta dinaiki dua individu di Jalan Bidor menuju ke Kampung Poh, 100 meter dari lampu isyarat tol Bidor malam tadi.
Dalam kejadian pukul 10.30 malam itu, Lans Koperal Muhaini Mahamawi, 26, yang bertugas di Balai Polis Bidor bengkak kaki kiri manakala anggota polis sukarela Konstabel K. Sivaprakasam, 22, cedera di kaki serta tangan kiri dan masih dirawat di Hospital Tapah.
Ketua Polis Daerah Tapah Suprintendan Som Sak Din Keliaw berkata ketika kejadian, anggota polis berkenaan sedang membuat rondaan dengan menaiki motosikal masing-masing di Jambatan Kampung Chang Jalan Paku, Bidor.
"Semasa rondaan, mereka dapati sebuah kereta Perodua Kancil dinaiki satu pasangan dalam keadaan mencurigakan. Mereka menghampiri kereta tersebut untuk membuat pemeriksaan, tiba-tiba kereta itu memecut laju ke arah Jalan Bruseh, Bidor," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata dua anggota polis terbabit kemudian mengejar kereta tersebut yang memecut laju sehingga melepasi lampu isyarat tol Bidor menuju Kampung Poh.
Katanya selepas melepasi lampu isyarat itu, kereta berkenaan membuat pusingan U dan terus melanggar motosikal ditunggang Sivaprakasam menyebabkannya terjatuh.
"Kereta tersebut kemudian mengundur dan melanggar Sivaprakasam sekali lagi sebelum memecut ke arah Muhaini yang sempat mengelak dan melompat daripada motosikalnya.
"Kereta itu melanggar motosikal Muhaini dan terus menuju ke arah pekan Bidor," katanya.
Bagaimanapun, Som Sak berkata setengah jam kemudian, kereta terbabit ditahan di KM61 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur oleh anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) dan kenderaan pelbagai guna dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.
Beliau berkata suspek yang ditahan ialah lelaki berumur 21 tahun dari Tapah Road dan seorang perempuan berumur 19 tahun berasal dari Bidor.
"Ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis ganja manakala suspek perempuan negatif. Mereka ditahan reman semalam tujuh hari mulai hari ini," katanya. - Bernama