2 Pencuri Pecah Masuk Kereta Kantoi Diberkas Di Sg Petani

Suspek diserahkan kepada anggota polis
SUNGAI PETANI - Dua lelaki yang memecah masuk sebuah kereta milik seorang wanita di Taman Sejahtera di sini, pagi semalam, berjaya ditahan dalam masa beberapa minit selepas kejadian itu.

Sumber berkata, kejadian itu disedari selepas kereta Proton Waja yang dinaiki dua lelaki berkenaan melanggar pagar sebuah rumah berdekatan ketika cuba mengelak kenderaan jenis Toyota Avanza.

Menurutnya, sejurus selepas itu, dua lelaki berkenaan cuba menyembunyikan diri, namun berjaya dihidu orang ramai yang datang melihat kejadian berkenaan selepas terdengar bunyi bising.

"Orang ramai yang curiga dengan kejadian itu terus menghubungi petugas Pertubuhan Pasukan Keselamatan Sukarela (PPKS) Sungai Petani.

"Dua lelaki berkenaan ditahan sebelum diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Katanya, selepas ditahan, polis dapati lelaki berkenaan baru sahaja memecah masuk sebuah kereta di kawasan berdekatan susulan barangan curi yang ditemui dalam kereta mereka.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Mohd Sabri Muhamad@ Ahmad ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.

Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun itu dipercayai melarikan diri selepas memecah masuk sebuah kereta Proton Saga milik seorang peniaga kuih berusia 53 tahun.

"Mangsa menyedari kejadian itu selepas melihat kereta yang diletakkan di hadapan rumahnya dipecah masuk sebelum membuat laporan polis.

"Antara barangan yang dilarikan suspek adalah cukai jalan, buku servis kereta, barangan membuat kuih dan kotak yang mengandungi buku serta kain,” katanya.

Mohd Sabri berkata, kereta dinaiki suspek juga didapati dicuri di Butterworth.

“Dua suspek yang bekerja sebagai pembantu peniaga dan juruteknik itu ditahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri,” katanya.

Sumber: Sinar Harian