430,000 Koleksi Baru Setem "Kereta Api Di Sabah" Dilancar

Petugas Pos Malaysia, Noor Umiza Abdullah (kanan) dan Nor Saida Mohd Saip (kiri) menunjukkan koleksi setem "Keretapi di Sabah" beserta sampul surat hari pertama yang dilancarkan di ibu pejabat Pos Malaysia hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR – Pos Malaysia Bhd akan mengeluarkan 430,000 setem baharu koleksi Kereta api di Sabah, yang menampilkan empat kereta api terkemuka – Hitachi Diesel Hydraulic Locomotive, railbus, Diesel Multiple Unit (DMC) dan Vulcan Steam Locomotive – pada 28 Dis, 2015.

Daripada jumlah itu, 200,000 keping setem terdiri daripada Hitachi Diesel Locomotive Hydraulic (60 sen), diikuti 100,000 railbus (70 sen) dan DMC (80 sen) setiap satu, dan Vulcan Steam Locomotive (RM5), sebanyak 30,000 keping

Ketua Unit Setem dan Filateli Diyana Lean Abdullah berkata penyedia perkhidmatan pos negara itu menjangkakan koleksi setem terbabit habis dijual serta-merta berdasarkan pengalaman pelancaran koleksi setem pakaian tradisional sebelum ini.

“Produk filateli dikategorikan di bawah segmen runcit, namun sumbangan daripada segmen ini sangat kecil,” katanya ketika ditanya mengenai sumbangan segmen berkenaan kepada kumpulan.

Keputusan kewangan suku kedua Pos Malaysia berakhir 30 Sept 2015 menyaksikan hasil yang lebih rendah dalam segmen runcit, dengan penyedia perkhidmatan pos berkenaan mencatatkan RM48.7 juta berbanding RM72.2 juta pada tahun lepas, disebabkan oleh perakuan wang pos yang tamat tempoh.

Sementara itu, Pos Malaysia juga melancarkan 35,000 keping Sampul Surat Hari Pertama dan 2000 keping folder setem khas. – BERNAMA