Almy Nadia dan suami, Fizz Fairuz |
Rasanya, sudah lama kita tidak melihat kelibat Almy Nadia muncul di kaca televisyen mahu pun berlakon drama terbaharu semenjak menimang cahaya mata sulungnya.
Mengulas perkara itu, isteri kepada Fizz Fairuz ini mengakui dia sebenarnya sudah tawar hati untuk kembali berlakon kerana faktor saiz badannya.
Jelas Almy, 28, ini kerana dia sudah tidak menerima tawaran selain terdengar khabar ada pihak produksi mempersoalkan jika dia boleh kembali kurus ataupun tidak.
“Tipulah jika saya tidak rindu untuk berlakon semula setelah melahirkan anak. Masa mula-mula lepas bersalin ada satu masa saya rindu untuk beraksi.
“Namun setelah beberapa bulan, masih tiada tawaran di samping terdengar pengarah bertanya sama ada badan saya sudah turun ke belum dan dalam masa sama saya mula berniaga, jadi bagi saya, lebih baik teruskan berniaga.
“Bagi saya berniaga lebih seronok kerana tunggu berapa jam pun di gerai, masih boleh jual barang di samping puas hati dapat beri orang makan.
“Jika ditawarkan berlakon semula saya perlu lihat juga pada bayaran. Sekiranya penggambaran sembilan hari hanya dibayar RM1,000 atau 2,000 lebih baik saya berniaga,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Pada masa sama, Almy mengatakan kebanyakan stesen TV sekarang lebih memilih pelakon baharu walaupun ada yang tidak pandai berlakon kerana boleh dikerah dan dibayar rendah.
“Kini sangat berbeza, asalkan ada rupa. Oleh itu pelakon lama seperti saya sudah tidak dipandang produksi dan stesen TV,” katanya.
Almy pernah membintangi beberapa buah drama dan filem, antaranya Nana Tanjung, Janji Kekasih, Hujan Teduh, Dunia Baru, Cinta Tak Bertepi dan Dunia Baru The Movie. -Kedahnews.com