Kapten Kedah, Khairul Helmi Johari atau Keon |
ALOR SETAR - Skuad Helang Merah meletakkan keazaman tinggi untuk menghampakan harapan pasukan FELDA United melangkah ke final Piala Malaysia dengan berjuang berhabis-habisan dalam saingan separuh akhir kedua di Stadium Darul Aman, di sini, malam ini.
Walaupun memiliki kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri, barisan pemain Kedah tetap ditegas perlu berhati-hati dengan pasukan lawan yang berjaya membenam Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dan sudah pasti mahu membawa pulang berita gembira.
Kapten Kedah, Khairul Helmi Johari atau Keon berkata, meskipun memiliki kelebihan, namun dia mahu rakan sepasukan tidak meletakkan diri di zon selesa berikutan bermain di laman sendiri.
Katanya, secara taktikal dia dan rakan lain akan cuba memperbaiki kesilapan ketika aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Selayang, selain mengubah corak permainan supaya lebih kemas serta teratur.
“Strateginya tiada perubahan ketara, cuma kita akan memperbaiki kesilapan untuk tidak melepaskan jaringan dan akan cuba menambahkan gol," katanya yang dipetik dari myMetro.
Sementara itu, para pemain di barisan pertahanan Kedah turut diminta memberikan fokus di atas padang dan mengurangkan kesilapan semasa menerima kunjungan Felda United nanti.
Ketua jurulatih skuad Helang Merah, Tan Cheng Hoe yang tetap mengikuti rapat perkembangan semasa anak buahnya walaupun berada di China meminta semua pemain terus yakin dan fokus selain tidak membenarkan jentera serangan The Fighters merapati kubu mereka.
Ketua jurulatih skuad Helang Merah, Tan Cheng Hoe |
Menurutnya, beliau berpuas hati dengan kebangkitan pada perlawanan separuh akhir pertama lalu untuk keputusan 2-2 dan berharap kelekaan di bahagian pertahanan tidak berulang lagi.
“Dua jaringan Felda United di Selayang Rabu lalu atas sedikit kelekaan pertahanan dan saya berharap pemain tidak mengulangi lagi kesalahan tersebut.
“Kedah perlu lebih yakin beraksi di laman sendiri dan perlu fokus pada perlawanan sepanjang 90 minit berlangsung,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Cheng Hoe berkata, dengan sokongan puluhan ribu penyokong Hijau Kuning, beliau percaya kehadiran mereka mampu melonjakkan semangat semua pemainnya.
Dalam pada itu, kehadiran semula pemain sensasi Kedah, Baddrol Bakhtiar bakal menguatkan bahagian serangan Hijau Kuning untuk menggempur kubu Felda United selepas digantung satu perlawanan.
Kudrat Baddrol mampu membantu bahagian tengah pasukan tersebut untuk memberi ruang kepada Sandro Da Silva dan Liridon Krasniqi membantu Chidi Edeh memburu gol. -Kedahnews.com