KUALA BERANG – “Saya lihat kanak-kanak itu duduk seorang diri atas pasir di tempat kejadian sebelum dia beritahu ibu dan bapa serta tiga kakaknya lemas dalam air,” kata Razak Ahmad, 40; seorang peniaga.
Beliau yang secara kebetulan baharu tiba di Air Terjun Belukar Bukit, di sini, menemui budak tersebut sejurus selepas kejadian lima sekeluarga dari Selangor mati lemas.
Razak yang berniaga air minuman dan pisang goreng di situ, berkata ketika dia tiba sahaja di gerainya, beberapa pengunjung datang memberitahu mengenai kejadian tersebut.
“Saya kemudian terus bergegas ke lokasi kejadian itu serta menemui kanak-kanak tersebut berseorangan. Saya tanya di mana ibu dan bapanya lalu dia memaklumkan ada dalam air.
“Saya hubungi beberapa penduduk kampung untuk bantu mencari lima beranak itu. Usaha menaikkan mangsa sedikit sukar kerana arus berpusar selain air agak dalam mencecah tujuh meter berbanding kebiasaan,” katanya.
Seorang lagi yang terbabit dalam operasi itu, Mohd. Zainuddin Othman berkata, dia sudah beberapa kali terbabit dalam operasi menyelamat mangsa lemas di kawasan itu, tetapi mengakui kejadian itu adalah yang paling sedih.
Lima Sekeluarga Mati Lemas Di Hulu Terengganu
“Sudah lebih 20 mangsa lemas di kawasan ini yang saya pernah bantu cari, tetapi kejadian ini yang paling menyedihkan.
“Sedih lihat kanak-kanak itu menangis sambil minta tolong cari ayah, mak dan kakaknya dalam air ketika saya tiba di tempat kejadian,” katanya yang dikenali dengan kepakarannya mencari mangsa lemas di kawasan rekreasi itu.
Katanya, mangsa yang lemas di kawasan berkenaan tidak akan hanyut lebih jauh kerana pusaran arus di dasar akan menghanyutkan mangsa ke kawasan berbatu berhampiran air terjun.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Sabtu, sepasang suami isteri, Mohd. Halim Samian, 44; dan Nurul Adilah @ Salaiwati Awang, 39; lemas selepas mandi di Air Terjun Belukar Bukit, di sini.
Turut maut ialah tiga anak mereka, Nurul Arifah, 16; Nurul Hidayah Aina, 11; dan Nurul Izzah, 10. Bagaimanapun, anak lelaki pasangan itu, Mohd Hasif, 8, terselamat kerana berada di daratan.
Sementara itu, seorang penduduk yang sebelum ini ditugaskan menjaga kawasan berkenaan, Mohd. Yusof Mohamad, 61; berkata, dia bertugas di kawasan berkenaan sejak 2000 hingga 2014 lalu.
Sepanjang tempoh itu sudah beratus-ratus pengunjung lemas di kawasan rekreasi berkenaan.
“Boleh dikatakan setiap tahun ada kes lemas berlaku di kawasan ini dan kejadian terakhir membabitkan remaja lelaki berusia 13 tahun pada Hari Raya Aidiladha lalu,” katanya.
Sumber: Berita Harian