Penyanyi dan pelakon, Kilafairy, menegaskan bahawa dia mahu memberikan sepenuh perhatian kepada kerjayanya dan tidak mahu bergantung kepada mana-mana lelaki apabila melibatkan perkara yang menjadi impiannya.
Kata Kila yang sering dilabel sebagai "Angelina Jolie Malaysia" itu, dia tidak peduli soal cinta atau kekasih, dan jarang sangat berbicara tentang alam perkahwinan dengan keluarga mahupun rakan-rakannya.
“Memang saya tolak tepi dahulu soal cinta. Keluarga dan rakan-rakan memahami saya seorang yang kuat bekerja dan sebab itu mereka tidak banyak bertanya soal jodoh," katanya.
Jelas anak gadis kepada penyanyi 80'an Rohana Jalil ini, dia mahu memenuhi beberapa impiannya terlebih dahulu sebelum memikirkan soal rumah tangga.
“Ada yang ingin saya capai dahulu sebelum berkahwin seperti memilik rumah sendiri dan beberapa buah kereta”
“Saya tidak mahu bergantung pada lelaki dan biarlah saya peroleh semua itu dengan usaha sendiri,” jelas Kila kepada sebuah portal hiburan.
Selain itu, dia menyatakan bersedia untuk melangkah lebih serius dalam percintaan bersama pelakon Indonesia, Hardy Hartono. -Kedahnews.com